FITRI Haris
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


PENYANYI nasyid, Fitri Haris, 35 mengakui hatinya tertutup rapat untuk berkahwin semula dan trauma apabila memikirkan alam berumah tangga.

Fitri berkata, tidak terdetik langsung di fikirannya untuk berkahwin selepas tiga perkahwinannya sebelum ini berakhir dengan perceraian.

Menurutnya, dia berkongsi perasaan itu kepada ibunya hingga membuatkan dia menangis, baru-baru ini.

“Buat masa ini itulah keputusan saya dan biarlah Allah yang menentukan pada hari mendatang," katanya.

Menurut Fitri, dia malu untuk berkahwin lagi tambahan pula anaknya, Sofea Solehah yang menetap bersama bekas isteri di Singapura sudah berusia 15 tahun.

“Saya trauma untuk beristeri. Mungkin sebab pernah ditinggalkan. Apa-apa pun hati ini milik Allah," katanya.

Fitri yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, dia kini memberi tumpuan untuk menjaga anaknya yang akan tinggal bersama di Kedah tahun depan.

“Ramai saudara memperkenalkan saya dengan beberapa wanita. Ada yang bekerja sebagai doktor dan guru tetapi saya mohon maaf, hati sudah tertutup," katanya.

Dalam pada itu Fitri berkongsi kegembiraan apabila berjaya menamatkan pengajian doktor falsafah (Phd) di Universiti Nottingham, United Kingdom dalam jurusan Muzik Islam pada 5 Jun lalu.

“Saya mengetahui lulus Phdpada tarikh yang sama dengan hari lahir, yang kebetulan Hari Raya Aidilfitri. Saya akan hadir ke konvokesyen pada Disember depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, dia fokus untuk melatih penyanyi baru, Mohamad Abumair Mohd Asrof, 17, atau Abyss yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.

Fitri sebelum ini memiliki seorang isteri sebelum bernikah seorang lagi di Songkhla, Thailand pada 12 Mei 2009.

Bagaimanapun, hubungan itu tidak bertahan lama apabila dia bercerai dengan isteri pertama sebulan selepas berkahwin dengan isteri kedua. Kemudian dia bercerai pula dengan isteri kedua dua minggu selepas itu.

Pada 9 September 2012, Fitri berkahwin kali ketiga namun perkahwinan itu juga berakhir dengan perceraian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 11:01 AM