AIN yang kini hamil tujuh bulan mengalami pendarahan ketika melakukan pemeriksaan untuk kandungannya, semalam.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAWAK dan penyampai radio, Ain Sufia, 32, yang kini hamil tujuh bulan mengalami pendarahan ketika melakukan pemeriksaan untuk kandungannya, semalam.

Ain ketika dihubungi berkata, pendarahan itu berlaku selepas doktor melakukan pemeriksaan dan dia bimbang memandangkan ini adalah kehamilan pertamanya.

"Semalam saya menjalani pemeriksaan untuk kandungan saya. Semuanya dalam keadaan balik. Namun, apabila saya bangun dari katil, ada darah yang menitik dan itu memang benar-benar membuatkan saya bimbang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ain atau nama sebenarnya Nurul Ain Othman, doktor kemudiannya sekali lagi melakukan pemeriksaan untuk mencari punca pendarahan itu.

"Menurut doktor ada luka kecil, namun tidak serius dan tidak menjejaskan kandungan saya.Semalam saja, dua doktor datang untuk memeriksa kandungan dan mencari punca pendarahan itu. Alhamdulillah, saya dibenarkan pulang dan menurut doktor, sekiranya masih berlaku pendarahan, saya perlu datang semula ke untuk melakukan pemeriksaan.

"Pagi tadi, masih ada lagi pendarahan, namun, tidak seteruk semalam. Saya tunggu suami pulang dari kerja sebelum berjumpa doktor semula," katanya.

Ditanya mengenai jantina bayi dalam kandungannya, Ain berkata, kali pertama dia membuat imbasan adalah ketika kandungannya baru masuk usia enam bulan.

"Waktu itu, saya buat imbasan untuk lihat anggota badan bayi. Kalau jantinanya, pada ketika itu yang kami nampak adalah perempuan. Tapi, tak tahu kalau dia masih sembunyi-sembunyi.

"Tapi, bagi saya dan suami, kami tak kisah sangat mengenai jantina bayi. Yang penting, bayi kami dalam keadaan sihat dan proses kehamilan serta melahirkan akan berjalan dengan lancar," katanya.

Ini adalah cahaya mata pertama hasil perkahwinannya dengan suami, Mohd Nor Ab Mutalib. Kedua-dua mereka berkahwin pada awal Februari lalu. Ain dijangka bersalin pada 6 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 12:10 PM