SYAZWAN kini muncul dalam filem Warkah.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

CENDERUNG membawakan watak antagonis membuatkan Syazwan Zulkifli turut dilabel sebagai ‘budak nakal’. Ia diperkuatkan lagi dengan insiden Syazwan atau mesra disapa Kepeng didakwa panas baran hingga sanggup mengasari bekas kekasihnya beberapa tahun lalu.

Berbicara mengenai perkara itu, Syazwan yang kini muncul dengan filem Warkah di pawagam berkata dia lebih selesa mengambil pendekatan positif.

“Apa masyarakat mahu fikir mengenai saya, terserah. Saya sudah puas beri penjelasan berhubung perkara itu sebelum ini.

“Jadi, terpulanglah. Bagi saya, jalani saja kehidupan dengan tenang dan lalui apa yang Allah sudah tentukan. Lagipun, kisah lalu tidak perlu dikenang,” katanya.

Mengulas dirinya yang dianggap ‘budak nakal’ kerana watak antagonis dilakonkan, Syazwan berkata sekurang-kurangnya lakonannya menjadi.

“Saya berterima kasih kepada penonton yang menerima baik apa yang dipersembahkan. Saya terima apa saja bentuk sokongan yang diberikan termasuk kritikan.

“Saya akan memperbaiki mutu lakonan dalam naskhah berikutnya. Begitu juga jika beraksi di layar perak,” katanya.

Mengagumi lakonan Nam Ron, pemuda berusia 32 tahun ini mengakui teruja dapat bergandingan dengan pelakon dan pengarah berkaliber itu dalam filem Warkah.

Syazwan berkata, melakonkan watak adik-beradik dalam filem itu adalah pengalaman cukup bermakna terutama ia memaparkan kisah ukhuwah kekeluargaan.

Beralih kisah peribadi, Syazwan berkata dia akan mengikat pertunangan dengan wanita pilihan yang bertugas sebagai pramugari, Syawariah Zulkifli, 32 pada 31 Ogos ini.

Majlis pertunangan itu bakal diadakan di Taiping , Perak. Syazwan berkata sudah sampai masa untuknya melangkah ke fasa lebih serius dalam perhubungan mereka.

“Kami sudah berkawan lebih sembilan tahun dan sampai masanya kami simpulkan hubungan itu dengan ikatan perkahwinan.

“Lagipun, ibu bapa saya sudah berusia jadi ini masanya untuk saya membahagiakan mereka,” katanya.

Pelakon drama Pujaan Hati Kanda yang popular dengan watak Pali itu bagaimanapun tidak menetapkan berapa lama tempoh pertunangan itu.

“Buat masa ini, kami sepakat untuk bertunang dahulu. Tarikh kahwin, belum diputuskan.

“Apapun, saya memilih Syawariah kerana dia sangat memahami.

Dia menerima saya dan kerjaya saya seadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 4:30 AM