THE Brotherhood Band bersemangat semarakkan industri muzik tanah air.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


TIADA istilah terlambat dalam muzik kerana yang penting adalah bakat dan kesungguhan.

Inilah yang mendorong Am, 37, (bass), Sahak Ajis, 45, (gitar utama), Joy Hillas, 39, (penyanyi), Airie Zack, 37, (dram) dan Pakcik Tia, 29, (gitar kedua) bergabung menubuhkan The Brotherhood Band pada 2016.

Am berkata, mereka sebenarnya berasal daripada Bloodshed Studio, Kajang di bawah komuniti Bloodbrothers Team.

“Objektif kami untuk memberikan sokongan terhadap kumpulan rock era 1990-an. Apabila berkumpul, semua yang ada boleh bermain muzik. Dari situ kami berborak dan akhirnya buat keputusan tubuhkan band.

“Diikutkan kami sudah gantung gitar, tapi apabila menyertai komuniti ini, semangat untuk beraksi datang semula,” katanya.

Am dan Sahak adalah anggota asal The Brotherhood Band manakala posisi lain menyaksikan anggotanya silih berganti.

Sahak berkata, mereka memilih konsep muzik rock balada kerana ia semakin dilupakan peminat sekarang.

“Rock balada satu genre popular pada era 1990-an. Jadi, kami mahu menaikkannya semula kepada peminat. Saya menghasilkan single pertama berjudul Cinta Selamanya dengan liriknya ditulis Nur Shamsuddin pada 2016.

“Ketika itu penyanyi kami ialah Babah Lan. Apabila dia berundur, saya buat lagu baru nyanyian Joy Hillas berjudul Haruman Untuk Rina,” katanya.

Menurutnya, judul lagu ini seakan-akan mempunyai persamaan dengan lagu Monolog Untuk Rina daripada Junction kerana kumpulan itu adalah idola mereka.

“The Brotherhood Band sudah mengadakan persembahan di Insider Ipoh, Sarang Art Hub, Tanjung Malim dan Gulam Mee, Kota Damansara.

“Sambutan yang diperlihatkan oleh peminat tak mengecewakan. Lagu Cinta Selamanya pernah dimainkan di Insider Ipoh. Haruman Untuk Rina dinyanyikan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 dan peminat ternyata menyukainya,” katanya.

Terkini, mereka dalam proses merakamkan single ketiga berjudul Matilanak.

“Buat masa ini kami selesa bergerak secara bebas. Kami tak nak terikat dengan syarikat rakaman yang nak usik susunan muzik asal. Alhamdulillah, Blood Brothers Team sendiri mempunyai 500 ahli dan mereka banyak bantu promosikan kumpulan kami.

“Anggota The Brotherhood Band mempunyai kerjaya sendiri dan hanya berlatih pada masa lapang,” katanya.

Biarpun mengaku sukar, mereka tetap berusaha untuk bersaing dengan kumpulan generasi baru.

“Selagi mampu, kami akan menggunakan pelbagai cara untuk dikenali peminat. Selain TV, kita ada pelbagai medium lain yang boleh dimanfaatkan.

“Tak terkecuali, satu peluang keemasan apabila saya dan Amran terbabit berlakon dalam filem Rock 4. Kami tampil sebagai kawan-kawan pemuzik yang menyokong kumpulan Rimba Bara 2,” kata Sahak.

Peminat boleh mengetahui lanjut perkembangan The Brotherhood Band di Faceook The Brotherhood serta Instagram dan YouTube Thebrotherhoodbandmalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 5:00 AM