LAGU I Cover You khusus untuk muzikal Ola Bola. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PEMENTASAN Ola Bola The Musical turut melancarkan single berjudul I Cover You yang diberi sentuhan nafas baharu sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 pada 31 Ogos ini.

Lagu berentak hip hop itu akan dipersembahkan Altimet bersama barisan pelakon muzikal popular arahan Puan Seri Tiara Jacquelina pada pementasan percuma membabitkan empat lokasi iaitu Pulau Pinang, Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu sempena Hari Kebangsaan nanti.

Menurut Altimet, lagu ‘I Cover You itu sudah lama dihasilkannya iaitu kira-kira tiga tahun lalu.

“Saya melakonkan watak Sarjan Ahmad dalam pementasan muzikal Ola Bola. Lagu I Cover You memaparkan watak Sarjan Ahmad yang bercerita masalah orang kita yang tidak bersatu kepada pasukan Harimau Malaya.

“Selaku penulis lagu, saya juga berbincang dengan Tiara dari segi idea dan konsepnya terlebih dulu kerana dia penerbit pementasan ini,” katanya.

Altimet berkata, proses rakaman lagu itu juga berjalan lancar membabitkan barisan pelakon muzikal terbabit.

“Alhamdulillah, proses rakamannya tidak lama iaitu kira-kira sejam saja. Pada masa sama, Tiara juga puas hati dengan hasilnya.

“Lagu lain yang turut ditampilkan dalam muzikal Ola Bola juga diputuskan Tiara sebelum ini. Lagu I Cover You tidak dimuatkan dalam album saya pun kerana ia dicipta khusus untuk muzikal Ola Bola,” katanya.

Mengulas penampilannya dalam muzikal Ola Bola pula, kata Altimet, dia berlakon dalam muzikal itu kerana mahu mencabar dirinya di pentas teater.

“Saya perlu menyanyi rap, menari dan berlakon dalam muzikal Ola Bola. Mungkin sebab itu, Tiara menawarkan saya watak Sarjan Ahmad dalam muzikal Ola Bola.

“Bukan semua pelakon dalam muzikal ini boleh menari dan bermain bola sepak sekali gus. Ada pelakon yang boleh menari tetapi tidak tahu bermain bola sepak.

“Oleh itu, sesi latihan intensif lebih sebulan diperlukan untuk memastikan semua pelakon dapat kemahiran sama rata,” katanya.

KELUAR DARI ZON SELESA

Altimet mengakui dia menerima tawaran Tiara untuk bekerjasama dalam pementasan muzikal Ola Bola kerana mahu keluar dari zon yang selesa sebagai penyanyi rap.

“Saya banyak belajar daripada Tiara untuk menghasilkan lagu untuk muzikal Ola Bola. Jika nak diikutkan, Tiara boleh mencipta lagu sendiri untuk muzikal Ola Bola tetapi dia beri kepercayaan kepada saya.

“Tapi saya tetap berbincang dengan Tiara dari segi konsep kerana dia penerbit. Saya juga menerima teguran Tiara dengan hati terbuka apabila dia beritahu saya boleh menghasilkan lagu yang lebih baik,” katanya.

Menurut Altimet, dia juga sedia bekerjasama lagi dengan Tiara pada masa depan.

“Tiara ada konsepnya sendiri bagi setiap lagu dihasilkan untuk muzikal. Saya memang suka mencari benda yang susah dan mencabar diri kerana kepuasannya berbeza

“Begitu juga lagu baharu yang saya cipta untuk Zizi Kirana. Kami juga berbincang konsep lagu dimahukannya.

“Selain itu, saya juga dalam proses mencipta lagu untuk filem berkonsep muzikal tidak lama lagi,”katanya.

Teater Muzikal Ola Bola Merdeka Tour terbitan Enfiniti (M) Sdn Bhd akan dipentaskan di Majestic Theatre, Pulau Pinang pada 31 Ogos; Stadium Perpaduan, Kuching (6 hingga 8 September), Kompleks JKKN, Kota Kinabalu, (16 September) dan Auditorium Darul Makmur, RTM, Kuantan, (21 September).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 10:03 PM