NAZIM selesa bekerja dengan Sheila Rusly.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


PELAKON Nazim Othman mengakui pada mulanya dia agak skeptikal untuk bekerja dengan syarikat produksi JS Pictures milik Sheila Rusly kerana mendengar khabar angin mengatakan wanita itu garang dan bersuara seperti ‘petir’.

Nazim menerusi kenyataan di Instagram berkata, sepanjang bekerja dengan Sheila, dia berasa selesa dan menyifatkan wanita berkenaan sentiasa melakukan yang terbaik sebagai penerbit.

"Saya tidak pernah berborak dengan sis (Sheila) sepanjang sedekad dalam industri tapi siapa sangka dari satu komen pada gambar masakannya, saya dipelawa datang ke rumah dan dia masakkan untuk saya.

"Selepas itu, barulah saya bekerja buat kali pertama dengan JS Pictures untuk telefilem Silang. Ini kali kedua saya menjalani penggambaran dengan JS.

"Sepanjang pemerhatian berbulan-bulan bekerjasama untuk drama Cindai yang habis tamat penggambarannya ini, Sheila tidak seperti yang diperkatakan orang itu,” katanya.

Nazim berkata, dia tidak pernah melihat Sheila menegur seseorang tanpa usul periksa. Setiap perkara yang dilakukannya adalah mengambil kira persekitaran.

Perkongsian yang dibuat itu bukan untuk 'membodek' tetapi berharap supaya orang ramai melihat seseorang pada kebaikan dan bukan kelemahan.

"Saya tidak pernah lagi nampak dia menegur tidak bertempat. Saya juga selesa bekerja di bawah arahan suaminya, Jinggo.

"Apa yang saya lihat hanyalah seseorang yang mementingkan butiran terperinci dan mahukan yang terbaik untuk setiap individu.

"Ini bukan ayat bodek. Ini ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam. Kalau bodek sekali pun bukan dapat apa-apa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 5:00 PM