ERMA Fatima
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“JIKA ada pihak terasa dan menganggap teater ini menyindir orang Melayu, terpulanglah kepada persepsi masing-masing.

“Sebagai pengkarya, saya berhak untuk membuka mata orang Melayu yang masih diulit mimpi ketika ini,” kata pengarah terkenal Erma Fatima ketika mengulas dakwaan segelintir pihak pementasan Teater Malayu - Pawana Isabella yang dikatakan menyindir golongan Melayu dan keadaan semasa ketika ini.

Menurut Erma, pementasan Teater Malayu - Pawana Isabella adalah satu fiksyen mengenai kerajaan Malayu Aksara.

“Saya tidak boleh halang jika penonton mahu kaitkan cerita ini dengan keadaan dan situasi orang Melayu sekarang.

“Ia terpulanglah pada penilaian dan interpretasi penonton untuk menterjemahkan karya ini nanti,” katanya.

Segelintir pihak mendakwa teater berkenaan yang mengetengahkan sikap mengambil rasuah, malas dan tidak bersatu ditujukan kepada orang Melayu.

Bagaimanapun, kata Erma, naskhah teater terbarunya itu sebagai ‘hadiah’ kepada bangsa Melayu dan negara yang tercinta.

“Saya pernah berjaya dan pada masa sama pernah gagal ketika mementaskan teater di pentas Istana Budaya sebelum ini.

“Pernah gagal bukan bermaksud saya mahu terus hasilkan karya yang bodoh untuk santapan penonton? Justeru, saya tampil dengan naskhah terbaru ini sebagai tanggungjawab besar pengkarya kepada bangsa dan tanah air,” katanya.

Pementasan Teater Malayu - Pawana Isabella menampilkan gandingan mantap barisan pelakon seperti Janna Nick, Stafiq Kyle, Azar Azmi, Datuk Afdlin Shauki dan ramai lagi.

Ia mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 21 hingga 31 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 3:28 PM