MENIKMATI keindahan pemandangan di lembah Taitung.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

SEBELUM tiba di Taipei, Taiwan bagi menjayakan kempen percutian Muslim di pulau yang pernah dijajah Jepun hampir 50 tahun itu, pelbagai perkara bermain di fikiran dramatis, Datin Elvina Mohamed.

Elvina dan seorang lagi ‘insta famous’, Stephy Yiwen dipelawa Jabatan Penerangan dan Pelancongan Taiwan untuk merasai sendiri percutian menarik musim panas di negara pulau itu.

Sudah tentu antara perkara yang difikirkan Elvina ialah benarkah percutian Muslim boleh dilaksanakan di situ dan bagaimana mereka memastikan perkhidmatan yang diberi benar-benar mematuhi syariat halalan toiyiban?

Sebaik memasuki bilik penginapan di The Howard Plaza Hotel, Taipei pada hari pertama, Elvina bersama rombongan yang termasuk beberapa wakil media terkejut pihak hotel terbabit menyediakan sejadah, al-Quran, tanda arah kiblat serta jadual waktu solat.

The Howard Plaza Hotel juga menyediakan alamat lengkap tiga masjid utama di Taiwan sekiranya ada yang mahu menziarah dan menunaikan solat di sana.


ELVINA bergambar di hadapan perpustakaan Taipei.

“Ketika dipelawa bercuti di Taiwan, perkara pertama yang saya risaukan ialah mengenai makanan halal.

“Bagaimanapun, kerisauan itu lenyap apabila The Howard Plaza Hotel bawa saya dan rombongan meninjau bahagian dapur untuk melihat sendiri penyediaan makanan halal. Malah, dapur untuk makanan halal dan tidak halal diasingkan.

“Bukan itu saja, pinggan mangkuk yang diguna untuk makanan halal juga dicap tanda halal dan diasingkan dalam bekas khas. Sampai begitu sekali mereka menjaga kualiti kebersihan dan halalan toiyiban,” katanya.

Kongsi Elvina lagi, dia tertarik dengan gaya hidup masyarakat setempat yang rata-ratanya sangat berdisiplin.

“Kawasan yang kami kunjungi bersih sekali gus mencerminkan keperibadian penduduknya. Malah, sewaktu berjalan-jalan di pasar malam terkenal di situ iaitu Xiamending serta Shilin, kita boleh lihat persekitarannya bersih dan sampah tidak dibuang merata-rata,” katanya.


SEMPAT membeli baju buat anak tunggalnya Karl Mateen di Shilin Market.

Menyentuh aktiviti paling menarik sepanjang berada di Taipei, Elvina berkata, sudah tentu berada di bangunan antara yang tertinggi di dunia, 101 Taipei.

“Bayangkan saya diberitahu Taiwan berada dalam kerangka gempa bumi dan ada paling kurang 54 gegaran kecil. Disebabkan itu juga mereka jarang mengalami gegaran besar. Saya kagum dengan teknologi pembinaan bangunan 101 Taipei yang berupaya menyerap gegaran.

“Pada malam terakhir sebelum pulang, saya merasai gegaran pada jam 1 pagi. Saya ingatkan saya mamai tetapi apabila periksa semula, rupa-rupanya berlaku gegaran kecil tidak sampai satu saat pun.

“Syukur sebab saya hanya merasai gegaran kecil kerana sebaik saja pulang ke tanah air, Taipei dilanda gempa bumi besar dengan bacaan gegaran mencecah 5.9 magnitud. Malah, perkara itu dilaporkan dalam berita,” katanya.


ELVINA bersama rombongan media bergambar kenangan di bawah mercu tanda bangunan tertinggi 101.

Sekiranya pengunjung beragama Islam mahu menunaikan solat di bangunan tertinggi itu, tidak perlu risau kerana disediakan surau.

Selain itu, Elvina mengakui seronok apabila rombongan juga dibawa meninjau kawasan bandar pelabuhan lama di daerah Tamsui dengan bangunannya berusia 100 tahun yang diperbaharui oleh kerajaan Taiwan. Di situ pelbagai makanan kering terkenal dijual.

Di kawasan itu juga, Elvina dan rombongan dibawa Jabatan Penerangan dan Pelancongan Taiwan merasai perayaan hari kekasih yang diadakan pada sebelah malam dengan berlangsungnya konsert dan percikan bunga api.


BERSAMA ‘instafamous’ Stephy di bahagian paling atas banggunan tertinggi di Taiwan Menara 101.

“Saya tertarik dengan sambutan hari kekasih yang diraikan masyarakat Taiwan. Ia sangat berbeza dengan sambutan orang Barat. Mereka meraikan kisah cinta pasangan kekasih yang hanya berpeluang bertemu setahun sekali disebabkan hubungan mereka tidak direstui. Hari Kekasih di Taiwan diraikan setiap 7 Julai dan ia disambut secara besar-besaran,” katanya.

Elvina juga dibawa melawat kawasan tumpuan kolam air panas semula jadi terbesar di Taiwan iaitu di daerah Beitou serta hospital pertama yang cuba mendapatkan status halal bagi memudahkan masyarakat Islam mendapatkan rawatan di sana.

“Saya puji usaha Taipei Wellness Clinic and Resort yang cuba menjadikan hospital mereka sebagai hospital pertama diiktiraf berstatus halal. Malah saya difahamkan mereka cuba mendapatkan status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sewaktu dibawa melawat hospital itu, kami diberi penjelasan lengkap mengenai usaha mereka itu. Malah, bilik berasingan untuk pesakit lelaki dan wanita disediakan. Begitu juga dengan tempat solat.

“Usaha itu dilakukan mereka kerana mahu membangunkan pelancongan kesihatan khusus bagi orang Islam di seluruh dunia yang mahu mendapatkan rawatan di sana,” katanya.


BERGAMBAR bersama kakitangan hospital mesra Muslim pertama di Taipei.

Selain Taipei, Elvina dan Stephy dibawa ke Taitung yang terletak di tenggara Taiwan, satu lagi lokasi percutian menarik yang menjadi tumpuan umum.

Menariknya, Elvina dan Stephy dibawa ke sana bagi merasai suasana sambutan festival belon udara dan diberi peluang menaiki belon panas.

“Memang saya tidak akan melupakan pengalaman menarik itu apatah lagi dapat melihat pemandangan indah gunung-ganang diseliputi awan di sekeliling Taitung.


POKOK yang menjadi popular di Taitung, yang banyak diabadikan dalam iklan dan drama.

“Sepanjang kami berada di Taitung, makanan halal mudah diperoleh kerana ada beberapa restoran menghidangkan makanan Muslim dan berasaskan sayur-sayuran serta buah-buahan. Beberapa restoran halal di Taiwan juga menyediakan ruang solat,” katanya.

Elvina berpeluang memerhati keindahan di sepanjang jalan pantai dan laut di Fushan, satu jam perjalanan dari Taitung, serta melihat pusat pemeliharaan ikan laut di sana.

“Selain itu kami juga dibawa melihat gaya hidup dan budaya masyarakat orang asli di sana. Tak sangka di Taiwan juga ada masyarakat asal yang mendiami tempat itu,” katanya.

Penulis mengikuti rombongan percutian musim panas di Taiwan atas pelawaan Jabatan Penerangan dan Pelancongan Taiwan, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 7:02 AM