ELLY Mazlein. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

IBU mana yang sanggup melihat anaknya dahagakan kasih sayang bapa? Sebagai ibu tunggal, penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein mengakui bimbang sekiranya satu hari nanti anaknya, Putri Sara Sefhia bertanya mengenai bapa.

Menurutnya, walaupun anaknya masih kecil dan tidak memahami situasi yang berlaku dalam hidup mereka, jelas pada mata puteri kesayangannya itu, dia dahagakan kasih sayang bapa. Paling ketara apabila si kecil itu melihat rakannya bermain dengan bapa mereka.

“Antara perkara yang paling saya takut dan khuatir ialah bagaimana jika suatu hari nanti Sefhia bertanya, kenapa dia tidak ada bapa seperti orang lain? Perasaan itu sangat pedih dan saya tak dapat gambarkan dengan kata-kata.

“Dia tidak pernah bertanya kerana mungkin dia masih kecil. Namun, dalam matanya saya nampak dia inginkan kasih sayang dan mahu bermanja dengan insan bergelar bapa,” katanya.

Namun, Elly yang lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom mengucapkan rasa syukur kerana hidup mereka berjalan lancar setakat ini dan segala-galanya tersusun cantik.

“Saat saya rasa bimbang sekiranya perkara itu (ketiadaan bapa) dipersoalkan Sefhia, Allah kurniakan teman yang akan melengkapi keluarga kami selepas ini,” katanya.

Pernah mengambil keputusan untuk menutup pintu hatinya, Elly bagaimanapun sedar itu tindakan yang pentingkan diri sendiri.

“Selepas bercerai, saya pernah nekad tidak mahu menerima mana-mana lelaki lagi. Ketika itu saya terlupa bahawa Sefhia perlukan bapa.

“Dia perlukan bapa untuk menjaga kami sekeluarga dan pada masa sama menjalani kehidupan sama seperti rakan seusianya,” kata Elly.

Seperti yang pernah dikongsi Elly sebelum ini, tahun hadapan dia akan berkahwin dengan buah hatinya yang diperkenalkan sebagai Papa Awan Nano.

“Selepas semua dugaan berat dan kepayahan hidup yang saya alami, alhamdulillah Allah kurniakan lelaki yang dapat menjadi pendamping saya dan Sefhia.

“Selama ini, saya hanya dengar cerita mengenai rezeki orang yang bakal berkahwin dan sekarang saya sudah mula merasa.

“Tawaran kerja tak putus-putus. Baik tawaran berlakon, menyanyi mahupun mengacara, semuanya datang serentak dan tentulah saya bersyukur,” katanya.

Kongsi Elly lagi, tanggal 8 Ogos lalu, genaplah setahun dia mengenali jejaka itu.

“Kata orang, dalam setahun pertama perkenalan, kita akan dapat lihat dan benar-benar kenal hati budi seseorang. Alhamdulillah, sepanjang setahun ini, saya diulit bahagia,” katanya yang sudah tiga tahun bergelar ibu tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:31 AM