BUNGA Citra Lestari. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

PELAKON dan penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) kini kembali dengan filem My Stupid Boss 2 berganding dengan aktor Reza Rahadian. Bezanya, penggambaran filem sekuel ini dijalankan di Vietnam.

Filem garapan Upi Vianto itu menjalani penggambaran berkonsepkan alam terbuka dan jauh daripada tumpuan. Bagi BCL, walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh, ia menambah satu lagi pengalaman buat dirinya.

“Penggambaran di Vietnam perlukan kerja keras dan harus sabar. Perjalanan darat saja makan masa hampir 16 jam. Macam-macam kejadian yang berlaku.

“Beberapa kali tayar pecah. Terpaksa tolak sendiri kerana tidak ada orang berhampiran. Semua pelakon dan kru harus bekerjasama untuk selesaikan setiap masalah yang dihadapi,” kata Bunga.

Bukan masalah ketika perjalanan saja, mereka juga harus bertahan dengan tempat penginapan yang disediakan. Kongsi Bunga, keadaan hotel berkenaan kurang menyenangkan.

Sudah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara itu, namun BCL tetap terkejut sebaik tiba di hotel berkenaan. Disebabkan lokasi hotel berada di kawasan pedalaman, tidak hairanlah ia dipenuhi dengan pepijat.

“Hotel tempat kami menginap memang jauh di pedalaman. Kami harus beradaptasi dengan keadaan sekeliling. Walaupun sudah diberitahu tetapi saya tetap terkejut dengan keadaan premis itu.

“Suhu di kawasan itu juga sejuk. Sekitar 10 darjah Celsius. Kami sama sekali tidak mempersiapkan baju yang sesuai dengan cuaca. Syukur, masih boleh tahan dengan suhu itu,” katanya.

Punya saluran sendiri di YouTube pada 14 Mei 2018, BCL sudah memuat naik 15 video yang berkongsi perjalanan hidupnya sebagai penyanyi.

Wanita itu menafikan bahawa saluran itu dibuat kerana ingin mencari wang sampingan. Dia menegaskan video yang dimuat naik itu bersifat perkongsian.

“Selalunya video yang saya kongsi adalah mengenai percutian keluarga atau detik saya berada di belakang pentas untuk bersiap sedia membuat persembahan. Ia kerana ramai tidak tahu bagaimana penyanyi buat persiapan.

“Ketika di belakang pentas, ada ramai yang terbabit dengan persembahan. Ia menunjukkan yang penyanyi bukan sekadar menyanyi tetapi persiapannya juga ambil masa yang panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:01 AM