AYDA Jebat anggap tiada rezeki buat dirinya tahun ini. -Foto AZIAH AZMEE.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON Ayda Jebat menganggap ketiadaan namanya dalam senarai penuh Top 5 Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH32) sebagai bukan rezekinya.

Meskipun tidak disenaraikan, Ayda berkata, dia akan tetap memberikan sepenuh sokongan terhadap acara gilang-gemilang itu serta mana-mana majlis penganugerahan.

“Ini semua adat pertandingan. Saya anggap tiada rezeki dan akan terus memberikan sokongan kepada penganjuran ABPBH32.

“Lagipun, prinsip saya bukan mahu kejar trofi tetapi ,mendapatkan karya berkualiti bagi menghiburkan pencinta muzik dan mewarnai industri seni lakon. Itu lebih penting,” katanya.

Menurut Ayda, anugerah bukan jaminan anak seni dapat terus kekal dalam industri hiburan tanah air sebaliknya ia bergantung kepada bagaimana seseorang itu merencana perjalanan kerjayanya.

“Anugerah bukan tiket untuk berada dalam bidang ini selama-lamanya. Saya pernah menang anugerah tetapi masih perlu berusaha untuk mendapatkan naskhah terbaik serta lagu mesra telinga bagi menambat hati peminat.

“Apapun, tahniah diucapkan kepada semua selebriti yang tercalon dalam Top 5 ABPBH32,” katanya.

ABPBH 32 akan dipancarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September depan, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:45 PM