EZAD (kiri) terkejut dengan sambutan luar biasa peminat di Kota Singa. -Foto NSTP
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


TIKET Konsert Exists Reunion yang bakal berlangsung di Singapura pada 5 Oktober nanti habis terjual dalam tempoh kurang 48 jam sejak mula dibuka kelmarin.

Vokalisnya, Ezad Lazim mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa peminat di Kota Singa.

“Sejak dulu lagi persembahan Exists mendapat sambutan hangat di sana.

“Namun, tak sangka pula kesemua tiket untuk 1,500 tempat duduk berjaya dijual dalam masa dua hari,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Ezad lagi, walaupun tiket konsert di Singapura sudah habis terjual, peminat dari negara itu masih boleh menonton persembahan Exist dengan membeli tiket konsert yang akan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 28 September nanti.

“Tiket konsert di Malaysia masih ada lagi. Kalau peminat di Singapura tidak sempat beli tiket konsert Exists di sana, mereka boleh beli tiket konsert di Malaysia,” katanya.

Menurut Ezad setakat ini 50 peratus persiapan termasuk susunan lagu sudah berjaya diselesaikan. Menerusi konsert itu Exists akan menyampaikan lebih 20 lagu popular.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:15 PM