DAYANA tidak ada niat mahu cipta kontroversi.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


"IA bukan strategi melariskan produk kosmetik dan saya masih berpakaian dalam gambar itu," kata pelakon Dayana Roza yang menepis dakwaan netizen kononnya dirinya tidak berbaju dan terlalu seksi dalam foto yang dimuat naik di Instagram.

Dayana ketika ditemui berkata, itu adalah konsep untuk sesi fotografi jenama produk kosmetik keluarannya.

"Saya, rakan kongsi dan pasukan kerja memilih konsep 'Less is more' kerana mahu fokus kepada wajah dan kulit.

"Tak sangka pula ramai yang kecam. Padahal, saya masih berpakaian cuma, foto yang diambil itu adalah dari bahagian bahu dan ke atas. Mungkin sebab itu nampak seperti saya tidak berbaju," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dayana, dia tidak ada niat mahu cipta kontroversi.

"Dalam tempoh setahun ini, hidup saya tenang tanpa sebarang kontroversi.

"Isu ini tidak akan timbul kalau bukan saya yang menjadi model. Bagaimanapun, selepas berbincang dengan pasukan saya, mereka kata lebih sesuai kalau saya yang jadi model memandangkan ini produk saya," katanya.

Menurut Dayana, Sebelum ini pernah ada sesi fotografi untuk produk itu dengan konsep berbeza namun tidak dibicarakan oleh netizen.

"Sebelum ini, saya dah pernah buat sesi fotografi untuk produk ini tetapi orang tak peduli pun. Bagaimanapun, apabila ketengahkan konsep ini baru orang nampak.

"Ini adalah lumrah. Orang akan sentiasa menantikan kita melakukan kesilapan dan ia akan disebut-sebut. Apapun, saya sudah lali dengan kecaman dan ini bukan yang pertama,” katanya.

Dayana ditemui di majlis pratonton dan sidang media filem terbaru lakonannya, Kron. Filem arahan Opie Zami itu membariskan ramai bintang hebat antaranya, Zahiril Adzim dan Aman Graseka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 8:24 PM