ZOEY RAHMAN
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAKON Zoey Rahman bersyukur apabila terus dikurniakan rezeki termasuk dua anugerah menerusi perniagaan Mika Series merangkumi produk kosmetik dan pakaian yang dimulakannya sejak 2016.

Zoey, 34, berkata, sebagai selebriti dan usahawan, dia berharap kejayaannya itu akan mencetus inspirasi kepada orang ramai.

Bulan ini Zoey menerima anugerah kategori Bakat Khas Usahawan untuk acara Top 100 Top Young CEO dan pada 26 Ogos ini dia akan menerima satu lagi anugerah iaitu Most Admired Leaders di Asia Awards 2019 oleh Herald Global.

“Sejak memulakan perniagaan pada 2016, ini penghargaan terbaik yang saya peroleh dan diharap boleh menjadi inspirasi kepada anak muda untuk menjadi usahawan.

“Walaupun sibuk dengan perniagaan, saya bersyukur kerana masih dihujani tawaran lakonan dan rezeki satu-persatu datang,” katanya sewaktu ditemui di acara Top 100 Top Young CEO anjuran Ikon Malaysia, semalam.

Menurut Zoey, dia tidak sangka sokongan peminatnya selama ini boleh membawa dia ke tahap lebih tinggi sebagai usahawan ketika ini.

“Saya percaya apabila berkongsi ilmu dan bersedekah, buat sesuatu yang kita suka dengan ikhlas, kejayaan akan mengekori. Saya amat berterima kasih kepada pembeli dan pengguna produk saya selain pasukan saya yang cukup bertungkus lumus selama ini.

“Tidak sangka, atas permintaan peminat yang ingin tahu produk apa saya guna selain sekadar membuat reka bentuk produk dalam telefon bimbit saja, kini perniagaan saya berada di tahap ini,” katanya.

Pada acara berkenaan, turut menerima anugerah untuk kategori Bakat Khas Usahawan adalah pelakon Hannah Delisha, Norman Hakim, Memey Suhaiza, Wawa Zainal, Aeril Zafrel dan DJ Fuzz.

Selain itu, Rozita Che Wan, Datin Rabecca Nur Al-Islam Ahmad dan Datin Fouziah Ghous menang kategori Wanita Dalam Perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 5:44 PM