NADYA dan suami ambil pendekatan untuk mempertahankan rumah tangga mereka. FOTO instagram nadyasyahera
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAKON Nadya Syahera mengakui tindakannya memuat naik status terbaru di Instagram yang seakan-akan ditujukan kepada seseorang adalah untuk menjelaskan keadaan terkini hubungannya dengan suami, Fizul Nawi.

Nadya, 26, berkata, jika individu yang pernah dikaitkan dengan suaminya sebelum ini terasa hati, dia menyarankan supaya individu berkenaan muhasabah diri.

“Status itu dimuat naik bagi menjawab spekulasi kononnya saya dan suami sudah berpisah serta tidak lagi tinggal sebumbung.

“Buat pengetahuan semua, selepas kes curang tempoh hari saya dan suami ambil pendekatan untuk mempertahankan rumah tangga kami. Suami pun sudah minta maaf dan saya nampak usaha dia untuk berubah.

“Justeru, saya harap wanita itu hadam sendiri apabila lihat gambar saya dan suami. Sedarlah, awak tidak diperlukan pun,” katanya kepada Harian Metro.

Nadya yang popular dengan watak Bella dalam drama Dia Semanis Honey turut berharap kisah rumah tangganya menjadi iktibar terutama kepada mereka yang berdepan situasi sama.

“Lihat dari sudut positif apa yang terjadi dalam rumah tangga saya. Mereka harus kuatkan diri dan bangkit mempertahankan hak mereka.

“Jangan pernah mengalah dan tunduk dengan cakap orang sebaliknya ikutlah kata hati sendiri. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagiaan saya selama ini,” katanya.

Julai lalu, Nadya mendedahkan masih tinggal sebumbung dengan Fizul meskipun rumah tangga bergolak selepas dia mendedahkan kecurangan suaminya itu.

Pelakon itu mendakwa dia dan suami yang juga ahli perniagaan dalam proses memperbaiki hubungan mereka.

Terdahulu, Nadya pernah mendedahkan kecurangan suami dengan seorang wanita selepas mendapat bukti bergambar.

Menerusi perkongsian itu, Nadya mendakwa mula menghidu kecurangan suami kira-kira seminggu sebelum sambutan Aidilfiti lalu. Nadya mendakwa suaminya tidak pulang ke rumah hampir sebulan pada ketika itu.

Nadya dan suami berkahwin pada 25 September 2015. Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aleena Rose, 2, dan Mohamad Dayyan, 1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 6:38 PM