KUTIPAN BBBM2 mencecah RM 9.9 juta dalam tempoh lima hari sahaja.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


BOBOIBOY Movie 2 (BBBM2) mencipta rekod baru dalam sejarah filem animasi tempatan apabila berjaya meraih RM9.9 juta dalam tempoh lima hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abdul Razak yang juga penerbit serta pengarah filem BBBM2, pihaknya teruja apabila filem itu berjaya mencipta rekod baru sekali gus membuktikan filem animasi masih mendapat tempat istimewa dalam kalangan penonton.

“Saya sangat teruja dan tidak menyangka kutipan BBBM2 mencecah RM 9.9 juta dalam tempoh lima hari sahaja.

“Filem BoBoiBoy yang pertama memerlukan 13 hari untuk mendapat jumlah yang sama. Ini menunjukkan penonton di Malaysia sudah menerima dan menyokong animasi tempatan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Jastina Raja Arshad berkata, meskipun BBBM2 perlu bersaing dengan filem antarabangsa popular, karya itu berjaya mencatat kutipan tinggi.

“Berita gembira ini benar-benar beri impak positif dalam perkembangan industri perfileman tempatan.

“Walaupun ada filem antarabangsa ditayangkan, BBBM2 masih mendapat tempat. Kami sangat berterima kasih kepada penonton yang sudah menonton.

“Siri jelajah akan diteruskan di beberapa negeri lagi pada minggu hadapan. Jika minggu lalu siri jelajah serentak berlangsung di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Lembah Klang, selepas ini akan diteruskan di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang pula,” katanya.

BBBM2 mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 8 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 4:42 PM