AMAR Asyraf. FOTO Mahzir Mat Isa
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

KELAHIRAN cahaya mata kedua, Ammara Dian pada 16 Jun lalu ternyata mengubah gaya hidup pelakon Amar Asyraf, 32.

Paling ketara, pelakon yang popular menerusi drama Setia Hujung Nyawa itu mempunyai hobi baharu iaitu memasak.

“Ikutkan hidup saya tetap sama seperti dulu. Lagipun, anak perempuan saya tak banyak ragam sangat berbanding abangnya, Amar Taufiq, 4.

“Ammara Dian kuat tidur dan menyusu. Beratnya dari 2.69 kilogram sekarang sudah naik menjadi lebih tiga kilogram dalam masa sebulan.

“Bagaimanapun, perubahan paling ketara yang saya alami ialah mahir memasak dan sangat seronok di dapur,” katanya.

Menurut Amar, sebelum ini dia mengupah orang menjaga isterinya, Arna Salleh, 32, ketika berpantang.

“Sekarang, tiap-tiap hari saya masak hidangan untuk orang pantang dan juga keluarga kami.

“Alhamdulillah, ada juga benda baharu yang saya belajar menerusi kelahiran anak kedua.

“Saya belajar masak secara tak langsung dan rasa seronok pula dengan aktiviti ini. Memang lain keseronokan belajar memasak dan menyiapkan hidangan untuk orang,” katanya.

Amar berkata, kalau dulu dia tidak menyediakan hidangan untuk kawan yang bertandang ke rumah, kini sebaliknya.

“Saya pasti akan masak untuk mereka. Sebenarnya, dulu saya tak pandai masak dan kalau masak pun selalunya tak sedap.

“Namun, sejak isteri sarat hamil, saya tiba-tiba jadi suka masak. Macam-macam resipi saya cuba untuk dihidangkan kepada isteri.

“Saya bukan masak juadah ringkas untuk isteri berpantang tetapi lebih daripada itu. Sebelum betul-betul mahir, saya ikut resipi orang. Sekarang, saya sudah boleh buat sendiri dan olah agar lebih sedap,” katanya.



Minat baru Amar ini diperluaskan lagi apabila dia mempelbagaikan resipi masakannya dengan mencuba resipi dari Mexico, Thailand, India dan macam-macam lagi.

Beralih perkembangan kariernya, Amar yang mengajar teater di Kolej Universiti Poly Tech Mara (KUPTM) akan mementaskan teater muzikal berjudul Arghhhh... pada September nanti.

“Saya perlu fokus sepenuhnya kerana jarang mengarah naskhah muzik sebelum ini. Tak dinafikan agak sukar nak melatih pelakon baharu kerana ini pengalaman pertama mereka.

“Mana yang terlatih semuanya sudah tamat belajar. Jadi, banyak benda yang menyakitkan kepala kena saya lalui sekarang tetapi ia satu cabaran baru dalam kerja saya.

“Dalam pada itu, saya akan terbabit dengan penggambaran drama Superhero Dihatiku bersama Ezzaty Abdullah pada Ogos ini yang akan ditayangkan menerusi Hypp TV,” katanya.

Dia juga bakal menjalani penggambaran filem Escape arahan Ikhwan Shah yang akan menggandingkannya dengan bintang popular iaitu Kamal Adli, Elizabeth Tan, Pablo Amirul dan Zamarul Hisham.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 7:00 AM