Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


MELUKIS adalah hobi yang menjadi kegemaran individu tertentu dan ia bukanlah bakat yang boleh dimiliki semua orang. Selebriti juga tidak terkecuali. Walaupun sibuk dengan karier masing-masing, mereka masih berkesempatan meluangkan masa untuk melukis.

Minggu ini Bling! bawakan kemahiran melukis yang dimiliki 10 penyanyi dan pelakon dalam dan luar negara.

1. ANZALNA

Pelakon drama Memori Cinta Suraya ini sering berkongsi hasil lukisannya yang dimuat naik di Instagram.

Anzalna mengakui lukisan itu adalah hasil karya asli yang disertakan namanya.

Pada 5 Jun tahun lalu, Anzalna juga melakar potret Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kaabah.

Anzalna juga mengakui pernah memenangi pertandingan melukis di Kanada suatu masa dahulu.

2. EMMA MAEMBONG

Emma mewarisi bakat melukis daripada bapanya yang juga seorang pelukis terkenal, Ismail Embong. Sejak kecil Emma sering mengikut bapanya bercuti dan kesempatan itu mereka menghasikan lukisan.

Pada 2013, Emma menyertai pameran lukisan anjuran United Women Association dan mempersembahkan lukisan abstrak berbentuk wanita. Pelakon itu juga diakui ramai sebagai artistik dan penuh kontemporari.


IMUDA dan Emma Maembong.

3. IMUDA

Seperti diketahui Imuda minat melukis sejak zaman kanak-kanak sebelum bergelar pelakon. Imuda juga terkenal sebagai kartunis terutama menerusi watak ciptaanya iaitu Yushimura dan Maharajalela vs Birch di majalah Gila-Gila.

Imuda turut memiliki studio iaitu Imudaart Studio di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang dan pernah mengadakan pameran solo di Balai Seni Visual Negara pada 2015.

Imuda menghasilkan banyak karya antaranya lukisan potret The Beatles, Sivaji Gansen, MGR, Allahyarham Nordin Ahmad dan M Zain.

Pengarah popular, Mamat Khalid pernah membeli lukisan potret penyanyi Frank Zappa daripada Imuda kerana penyanyi itu adalah idolanya.

4. DATUK M NASIR

Sebelum bergelar penyanyi, Datuk M Nasir sememangnya seorang pelukis dan menuntut di Nanyang School of Fine Art di Singapura.

Biarpun sibuk dalam industri hiburan, penyanyi terkenal itu pernah mengadakan pameran solo dikenali Tanda di Galeri Tapak pada 9 Ogos 2014.

Sebanyak 15 lukisan asbtrak yang dihasilkan dipamerkan kepada orang awam.

M Nasir pernah memberitahu lukisan dihasilkan berbentuk kerohanian dan ia juga sebagai ilham yang membentuk lagunya.


DATUK M Nasir.

5. TIZ ZAQYAH

Peminat mula mengetahui bakat melukis Tiz Zaqyah sebaik dia memuat naik lukisannya di Facebook pada Mac 2012.

Tiz memberitahu lukisan itu dihasilkan bagi meluahkan isi hatinya.

Bakat melukis pelakon itu menjadi bualan peminat sebaik dia berkongsi kebolehannya itu di sebuah majalah.

6. LUCY LIU

Pelakon Amerika Syarikat ini banyak menghasilkan lukisan dalam bentuk tradisional dan digital sejak berusia 16 tahun.

Lucy pernah menyertai New York School Studio untuk mempelajari kemahiran melukis warna dan ukiran selama tiga tahun.

Namanya melonjak selepas sebuah lukisannya terpilih untuk dipamerkan dalam pameran berprestij tinggi, Montblanc’s Cutting Edge Art Collection.

7. JOHNNY DEPP

Pelakon terkenal ini bukan saja berbakat memegang watak unik dalam lakonan tetapi berkebolehan sebagai artis visual yang hebat.

Depp memiliki studio lukisan sendiri di rumah yang dipenuhi hasil karya sendiri.

Beliau juga beberapa kali menghadiahkan karya asli yang dihasilkan kepada rakan selebriti.

8. VIGGO MORTENSEN

Pelakon yang memegang watak Aragon dalam trilogi Lord of The Rings ini gemar melukis secara spontan dan menggunakan intuisi ketika melukis.

Beliau banyak menghasilkan karya dalam bentuk fotografi.

Hasil lukisan Viggo didapati bercorak abstrak tanpa menggunakan format atau medium tertentu.

9. BOB DYLAN

Seorang pemuzik veteran yang berpengaruh ini gemar menjadikan seni lukisan sebagai bentuk ekspresi bagi dirinya. Bob Dylan mempunyai teknik lukisan yang cantik menggunakan warna terang.

Bob gemar menjadikan Amerika Syarikat sebagai subjek lukisan dan lukisannya paling popular adalah sebuah siri empat lukisan yang berjudul Train Tracks. Ia dijual pada harga RM220,726 pada 2008.

10. SIR ANTHONY HOPKINS

Pelakon legenda ini mula melukis pada 2003 selepas didesak isterinya. Anthony mengakui menghabiskan banyak masa dalam studio untuk melukis yang dijadikan sebagai hobi baru.

Beliau gemar melukis secara abstrak dengan menggabungkan warna terang dan struktur yang tidak tersusun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 4:30 AM