PEMENTASAN Swan Lake sepanjang 3 hari di Istana Budaya pukau penonton.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


MELIHAT sambutan diberikan peminat tempatan terhadap pementasan tarian balet, Swan Lake yang dipentaskan di Istana Budaya baru-baru ini membuktikan kesenian teater tarian balet mempunyai ramai pengikut di Malaysia.

Jurucakap penganjur yang membawakan pementasan Swan Lake itu, Shiraz Projects sewaktu ditemui berkata, sepanjang tiga hari pementasan Swan Lake yang dipersembahkan St Petersburg Ballet Theater, tiada tajaan diperoleh dan semua penonton hadir membeli tiket.

Melihat sambutan cukup memberangsangkan itu juga membuatkan pengasas dan Pengarah St Petersburg Ballet Theatre, Konstantin Tachkin terkejut dan ketika ditemui sebaik pementasan selesai berkata, dia pada awalnya tidak tahu bagaimana sambutan bakal diterima dan teruja apabila menyaksikan Panggung Sari penuh pada hari pertama pementasan.

Kata Konstantin yang sedang dalam rangka jelajah dunia pementasan St Petersburg Ballet Theater, pihaknya kagum dengan saiz pentas agak besar dimiliki Istana Budaya.

“Bagaimanapun, perkara ini sudah diketahui sewaktu kami mengadakan sidang akhbar sebelum ini. Mujur peralatan untuk pementasan jelajah dunia ini, boleh dibesarkan atau dikecilkan mengikut kapasiti sesebuah dewan pementasan,” katanya yang sebelum itu mengadakan persembahan di Singapura dan Australia.

Memilih kisah klasik Swan Lake ternyata apa yang ditampilkan St Petersburg Ballet Theater, sepanjang tiga hari pementasannya di sini sangat memukau.

Memiliki pengalaman hampir 21 tahun penubuhan membuatkan semua yang terbabit dalam persembahan pada malam itu memberikan persembahan terbaik walaupun tidak sempurna.

Melihat dari sudut teknikal ternyata hampir semua penari mampu melaksanakan disiplin dengan baik dan mereka dilihat langsung tidak janggal walaupun pertama kali beraksi di pentas Istana Budaya.

Perincian prop pentas bagi menggambarkan lokasi dan kesan khas lampu menghidupkan lagi jalan cerita dipersembahkan.

Bagaimanapun, dalam pementasan Swan Lake itu, sudah pastinya tarikan utamanya adalah penari utama, Irina Kolesnikova.

Sesuai dengan gelarannya bintang bertaraf dunia, itu yang diberikan Irina pada malam pementasan di Istana Budaya sehingga berjaya memukau penonton.

Gerakannya sempurna dalam menggambarkan Puteri Angsa Odette, yang hidup dalam sumpahan ahli sihir, jatuh cinta dengan putera raja, Siegfrieds.


PENARI memainkan watak angsa.

Dia bukan saja baik dalam teknikal tarian dan gerak tubuh tetapi juga mampu memberikan ekspresi watak diperlukan.

Kata Konstantin, dia memilih untuk mementaskan Swan Lake di sini, kerana naskhah yang pertama kali dipersembahkan oleh Bolshoi Ballet pada March 1877, itu paling sesuai untuk mengetengahkan kehebatan teknikal dan lakonan dimiliki Irina.

“Selain Swan Lake, kami juga turut berpengalaman dalam mementaskan karya klasik termasuk Giselle, Don Quixote, La Bayadere, Romeo & Juliette serta The Nutcracker & Sleeping Beauty.

“Bagaimanapun, seperti yang saya jelaskan apabila Irina bersama kami dalam jelajah ini, Swan Lake adalah pementasan paling sesuai untuk menyerlahkan kredibiliti dimilikinya sebagai antara penari balet hebat antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, sepanjang pementasan berlangsung hampir dua jam, penari hanya diiringi muzik rakaman dan bukannya persembahan daripada orkestra.

Seperti yang umum ketahui kesenian balet punya kaitan kuat dengan muzik ditampilkan dan iringan pemuzik orkestra menambahkan lagi warna serta keindahan dalam persembahan tarian klasik dunia itu.

Menjelaskan mengenai perkara itu, kata Konstantin, memandangkan itu adalah persembahan jelajah dan kebiasaannya pementasan berlangsung dalam waktu singkat jadi ia tidak berbaloi sekiranya mereka membawa pemuzik orkestra untuk bersama-sama dalam pementasan terbabit.

“Pada peringkat awal memang ada perbincangan supaya persembahan kami diiringi pemuzik orkestra dari Istana Budaya, bagaimanapun kami berasakan ia akan memberikan risiko, kerana tidak dapat melakukan sesi latihan cukup bersama pengarah dan pemuzik pengiring.

“Bagi penari balet, mendengar ritma muzik dalam memberikan persembahan sangat penting. Andai timbul masalah ia boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap tarian yang dilakukan, sekali gus mencacatkan persembahan dibuat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mungkin perkara itu boleh dilaksanakan pada masa akan datang apabila mereka kembali ke Kuala Lumpur untuk membuat persembahan lagi.

Swan Lake menceritakan kisah Prince Siegfried ketika muda jatuh cinta dengan Puteri Angsa Odette, seorang wanita yang bertukar menjadi angsa putih setelah terkena sumpahan ahli sihir Rothbart. Ini adalah sebuah kisah bagaimana cinta sejati menguasai segalanya.

Selain Irina, Swan Lake turut menampilkan penari hebat lain termasuklah Margarita Avdeeva dan Dmitriy Akulinin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 5:30 AM