REMY terus dapat kepercayaan lakon watak hero dalam bidang lakonan.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


NAMANYA terus meniti di bibir peminat selepas drama bersiri Pujaan Hati Kanda yang mencetuskan fenomena sejak bersiaran di TV3 sebelum ini.

Bagi pelakon popular, Remy Ishak, 36, dia bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah drama serta filem selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

Selain diberi kepercayaan selaku duta produk Origina dan baju Melayu jenama Minaz, Remy juga tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon.

Pada tahun ini, Remy ada dua projek filem lakonannya yang akan ditayangkan di pawagam iaitu filem genre aksi Sangkar dan filem seram The Legend Of Pontianak.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat kepercayaan untuk melakonkan watak hero dalam bidang lakonan sampai sekarang. Saya juga belum berehat sejak Ramadan lalu kerana agenda seni padat hingga sekarang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Origina di Mydin USJ, Subang Jaya, baru-baru ini.

Mengenai filem Sangkar, kata Remy, dia berdepan cabaran untuk menjiwai watak Johan selaku peninju dalam filem seni bela diri campuran (MMA) itu.

“Mujur saya ada asas dalam bidang seni mempertahankan diri kerana penggambaran filem ini berlangsung Ramadan tahun lalu.

"Saya juga patah ibu jari kaki ketika hari pertama latihan tetapi tetap teruskan penggambaran kerana tidak mahu menyusahkan produksi,” katanya.

Dalam filem Sangkar arahan Kabir Bhatia itu, Remy bergandingan selaku teraju utama bersama Zul Ariffin, Mira Filzah dan Fadlan Hazim.

Filem itu juga membabitkan kerjasama Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment serta bakal ditayangkan di pawagam tanah air pada 29 Ogos nanti.

Ditanya filem Sangkar juga bertindih dengan tarikh tayangan filem The Legend Of Pontianak, dia hanya menyerahkan kepada pihak produksi untuk mengatur jadual promosi.

Filem The Legend Of Pontianak akan ditayangkan di pawagam Singapura terlebih dulu bermula pada 29 Ogos nanti dan selepas itu baru ditayangkan di Malaysia.

“Saya juga berdebar menanti tayangannya di pawagam tanah air kerana berdasarkan maklum balas diterima peminat, ramai yang menantikan filem seram ini kerana belum ada filem seram yang hebat selepas Munafik,” katanya

Selain Remy, filem seram arahan pengarah hebat Singapura, Glen Goei dan Gavin Yap itu menampilkan barisan pelakon hebat tempatan antaranya Nur Fazura, Wan Hanafi Su, Namron dan Shenty Feliziana.

BAWA ELEMEN MELAYU

Sebagai pelakon serius, Remy juga mengimpikan untuk mengembangkan bakatnya ke peringkat antarabangsa.

Menurut Remy, dia juga berharap The Legend Of Pontianak arahan pengarah Singapura itu menjadi batu loncatan buatnya ke peringkat antarabangsa.

“Saya akui bukan mudah untuk mencari tapak ke peringkat antarabangsa seperti pasaran filem Indonesia yang sangat besar.

“Bagi saya, Bront Palarae sangat bertuah kerana berjaya menembusi pasaran di sana,” katanya. Bagaimanapun, kata Remy, dia juga mahu membawa elemen Melayu ke peringkat antarabangsa.

“Selain menimba pengalaman berbeza bekerja dengan pengarah dari Singapura, filem The Legend of Pontianak juga mengekalkan elemen Melayu walaupun cerita ini dihasilkan untuk tayangan di luar negara.

“Begitu juga lakonan saya dalam mini series Keluarga Bahadon yang ditayangkan menerusi saluran Viu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 5:00 AM