Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


KONSERT reunion Exists bukan saja mengimbau nostalgia rangkaian lagu popular mereka, sekali gus menyatukan semula anggota asal kumpulan itu selepas 28 tahun penubuhannya.

Menurut bekas pemain keyboard Exist, Ajai atau Mohd Faizal Maas, 42, konsert skala besar itu juga julung kali dianjurkan dan bakal melakar sejarah tersendiri dalam industri muzik tanah air.

“Ia juga bukan perkara mudah dan satu keajaiban untuk menggabungkan semula semua anggota asal Exist dalam satu konsert.

“Kami berharap peminat setia Exist yang mengikuti perjalanan karier muzik kami dari dulu tidak lepaskan peluang keemasan untuk menyaksikan konsert bersejarah ini,” katanya pada sidang media Konsert Exists Reunion di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Ajai yang bermain keyboard, konsert reunion itu akan menggabungkan anggota asal seperti Musa (bass), Along (gitar), Shah (gitar), Ujang (dram) serta dua vokalis, Mamat dan Ezad.

Ditanya persiapan pula, kata Ajai, mereka kini giat berlatih setiap hari sehingga menjelangnya hari konsert nanti.

“Sebanyak 20 rangkaian lagu popular Exist akan disampaikan pada konsert dua jam ini.

“Konsert akan dimulakan dengan penampilan vokalis Mamat yang akan menghiburkan peminat menerusi lagu seperti Rahsia Pohon Cemara, Untukmu Ibu, Langkah Seiringan.

“Ia diteruskan dengan persembahan Ezad yang menyertai Exist pada 1996 dengan rangkaian lagu hit daripada album Diammu Gunung Berapi, Jangan Gentar, Ada dan Paragon pada konsert ini nanti,” katanya.

Mengulas kemunculan semula Exists, kata Ajai, ia membabitkan pembikinan album terkini dan mereka baru selesai merakamkan single berjudul Tak Berakhir.

“Lagu ini ciptaan saya bersama Along dan liriknya oleh Musa serta menampilkan gandingan Mamat dan Ezad.

“Lebih bermakna, lirik lagu ini menceritakan mengenai hubungan anggota Exist secara peribadi dan projek penyatuan semula.

“Lagu baharu ini juga akan disampaikan Mamat dan Ezad pada konsert reunion nanti,” katanya.

Selain konsert reunion Exists di Shah Alam dan Singapura pada 5 Oktober depan, ia membabitkan penerbitan dokumentari kumpulan itu.

Konsert Exists Reunion akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September ini.

Peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM130 hingga RM700 menerusi laman web: www.myticket.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:15 AM