PERSEMBAHAN Joe di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur tahun lalu dapat sambutan hangat. FOTO Luqman Hakim Zubir
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PENAMPILAN pemain gitar ternama, Joe menerusi persembahan solo The Best Of Joe di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 9 Disember tahun lalu mendapat sambutan hebat peminat.

Persembahan diiringi anggota PrimeD yang sebelum itu dikenali Prime Domestic iaitu Zul (penyanyi), Ainol (dram), Rozaimi (bass) dan Adi Yamin Soul Statue (keyboard) menjadikan pusat hiburan itu sesak dengan kehadiran peminat.

Namun, mereka yang terlepas menonton persembahan istimewa itu berpeluang menyaksikan semula kehebatan Joe menerusi persembahan eksklusif Joe Barbarik bersama PrimeD di Uncle Chilli’s, Hotel Hilton Petaling Jaya pada 4 Ogos ini jam 9.30 malam.

Joe, 50, yang juga bekas pemain gitar Wings menjanjikan persembahan hebat sebagaimana diperlihatkan di Hard Rock Cafe lalu dan percaya peminat akan terhibur.

“Persembahan akan berlangsung kira-kira satu setengah jam hingga dua jam. Kami akan tampil dengan konsep heavy metal dan hard rock,” katanya.

Joe berkata, mereka akan memainkan lagu dari era album menampilkan Mus sebagai penyanyi seperti Biru Mata Hitamku, Mencari Asal Usul dan Mr Barbarik.


JOE menjanjikan persembahan hebat. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Mereka juga akan memainkan lagu daripada album Prime Domestic iaitu Prima Domestika dan lagu Wings yang jarang dimainkan ketika Joe bersama Wings.

“Mana-mana peminat yang terlepas menyaksikan persembahan sulung saya di Hard Rock Cafe, ini sempatan terbaik buat mereka untuk hadir menonton,” katanya.

Tiket untuk persembahan istimewa Joe Barbarik yang dibawakan J & J Rochestra ini berharga RM65 (termasuk minuman ringan) yang boleh dibeli terus di Uncle Chilli’s atau layari laman web www.stubapp.com.

Maklumat lanjut sila hubungi 013-3212131.

Joe memulakan kariernya bersama kumpulan Scandals pada 1986. Lagu ciptaannya Penantian Yang Tak Pasti untuk kumpulan itu berjaya menjadi siulan peminat.

Dia kemudian menyertai Wings pada 1 April 1988 dan mula membabitkan diri dalam penciptaan lagu serta rakaman studio sehingga hari ini.

Persembahan ini akan menampilkan kredibiliti Joe yang mampu bergerak sendiri sebagai pemain gitar profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 4:30 AM