STACY sampaikan konsep gabungan unsur gelap dan feminin melalui visual tarian berdasarkan ‘mood’ lagu Khayal.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI popular, Stacy berpuas hati dengan hasil muzik video (MV) rasmi lagu Khayal yang mula dilancarkan jam 3 petang hari ini di saluran YouTube Nova Music Videos.

Stacy, 29, atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam berkata, MV arahan Hanif Hamid itu berjaya merealisasikan khayalannya seperti yang terdapat pada lirik hasil sentuhannya itu.

“Sewaktu penggambaran lagi saya sudah berasa teruja kerana semua pihak terbabit berjaya menterjemahkan apa yang diinginkan dalam MV ini.

“Secara ringkasnya, MV ini adalah bayangan imaginasi saya berada di alam fantasi. Untuk MV ini, kami mengekalkan ‘look and feel’ yang digunakan untuk muka depan gambar single ini.

“Penampilan saya dalam MV ini mendapat sentuhan magis jurusolek Datuk Alha Alfa dan penata gaya Yana Husin bagi menghasilkan ‘magical look’, yang menggabungkan unsur gelap dan feminin dalam memaparkan ‘feel’ serta karektor saya sendiri untuk lagu ini,” katanya.

Berbeza dengan MV lagunya sebelum ini, Stacy berkata, kali ini dia memberi penekanan kepada elemen tarian.

“Untuk MV ini, saya belanja peminat dengan lebih elemen tarian. Sajian visual yang memaparkan elemen tarian boleh memberikan ‘mood’ kepada penonton di setiap ‘musical progression’ lagu ini.

“Saya cuba sampaikan konsep gabungan unsur gelap dan feminin melalui visual tarian berdasarkan ‘mood’ lagu ini.

“Untuk mendapatkan gerak tari yang mampu menggambarkan gabungan dua unsur ini, saya menggunakan khidmat dua jurutari iaitu Wadi dan Faruq yang masing-masing mempunyai gaya khas tersendiri,” katanya.

Single ciptaan suaminya yang juga penyanyi, Akim Ahmad itu mula dilancarkan di semua platform digital sejak 12 Julai lalu.

Lagu itu mencatat sejarah tersendiri apabila berada di kedudukan Top 5 carta iTunes Malaysia selepas beberapa jam dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 8:34 PM