FORTEEN selesa bertiga, tiada hasrat cari pengganti Izzue Islam. FOTO: Khairul Azhar Ahmad
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


KUMPULAN trio popular Forteen kini selesa bergerak bertiga untuk meneruskan perjuangan dalam bidang muzik tanah air.

Seorang anggotanya, Ariz Lufias berkata, buat masa ini mereka belum berhasrat mengambil anggota baharu menggantikan Izzue Islam yang menarik diri.

“Sebagai kumpulan vokal harmoni, kami percaya tidak ada masalah untuk bergerak bertiga. Kami juga sudah susah dan senang bersama sejak penubuhan Forteen lapan tahun lalu,” katanya.

Selain Ariz, Forteen turut dianggotai Ameer dan One. Ariz berkata, bukan mudah mengambil anggota baharu kerana perlu melalui proses suai kenal yang lama untuk terus bertahan dalam sesebuah kumpulan itu.

“Saya akui memang ada turun naik dalam sesebuah kumpulan itu, tapi kami sayangkan kumpulan ini dan akan terus bertahan sampai bila-bila pun,” katanya.

Ariz berkata, Forteen juga tidak terjejas dengan ketiadaan Izzue.

“Bagi peminat yang mengikuti Forteen, mereka sudah tahu kami banyak memenuhi undangan persembahan bertiga apabila Izzue tiada kelapangan sebelum ini.

“Selalunya, kami akan memberitahu penganjur persembahan terlebih dulu jika Izzue tidak dapat memberikan komitmen dan mereka juga memahaminya,” katanya.

Pada masa sama, hubungan mereka dengan Izzue juga tidak ada masalah dan masih berhubung secara profesional.

“Kami sudah buka buku baharu dan mahu terus melangkah ke depan bersama Forteen. Pada masa sama, Izzue juga sibuk merencana aktiviti seninya secara solo,” katanya.

IKAT KONTRAK DENGAN INDIGITAL

Buat masa ini, Forteen sibuk mempromosikan single terbaharu mereka berjudul Diam Saja khusus buat peminat setia yang menyokong sejak dulu.

Menurut Ariz, setakat ini, single itu mendapat sambutan menggalakkan dan turut dipilih menjadi lagu runut bunyi drama bersiri Cinta Non Grata yang bersiaran di Slot Lestary TV3.

Ariz berkata, mereka mengikat kontrak selama setahun dengan syarikat pengurusan Indigital.

“Selepas program Gegar Vaganza berakhir, Indigital banyak membantu dan mengatur aktiviti seni kami. Kami juga putuskan untuk bernaung di bawah pengurusan bagi memastikan karier seni Forteen lebih teratur.

“Selain bersama Forteen, kami bertiga juga ada aktiviti seni kami sendiri. Contohnya, saya sendiri terbabit dalam bidang lakonan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:30 AM