DANIELLA tidak risau kerana ada ejen di Hollywood dan masih berpeluang cuba nasib di sana. FOTO Ihsan Daniella Sya
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PELAKON Daniella Sya, 30, menganggap belum rezekinya untuk berlakon dengan produksi Hollywood apabila terpaksa menolak beberapa tawaran yang datang.

Sebelum ini, Daniella atau nama sebenarnya Daniella Sya Yeng Yeng pernah didatangi tawaran berlakon filem Iron Man 3, Marco Polo, Crazy Rich Asians dan Power Rangers.

“Untuk Iron Man 3, saya tak perlu melalui proses uji bakat kerana tawaran ini diberikan oleh rakan bekerja di studio yang menjalinkan kerjasama dengan produksi Hollywood.

“Ada satu babak yang memerlukan pelakon berbangsa Cina kerana ia syarat untuk filem ini ditayangkan di China.

“Kononnya penggambaran dibuat di China. Itu sebab mereka berikan tawaran kepada saya,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun menurutnya, perkara itu akhirnya diketahui oleh pelakon terkenal China, Fan Bingbing yang menawarkan dirinya dan ia diterima oleh penerbit filem terbabit.

“Sudah tentulah mereka pilih dia kerana namanya besar. Walaupun hanya watak setiausaha, siapa yang nak tolak peluang berlakon filem Hollywood.

“Ikutkan saya memang setuju untuk berlakon tapi apakan daya belum rezeki. Saya tak kecewa dan terima hakikat siapa saya berbanding Fan Bingbing.

“Berkenaan tawaran berlakon filem Marco Polo pula, saya ditawarkan untuk berlakon watak Kokachin (Blue Princess). Produksinya tak jemu kejar saya supaya hantar rakaman uji bakat,” katanya.

Sekali lagi rezeki tidak memihak kepadanya kerana ketika itu dia terikat sebagai residen artis Mediacorp, Singapura.

Katanya, dia langsung tidak menghantar rakaman uji bakat kerana memikirkan ketika itu terlalu sibuk dengan penggambaran drama untuk Mediacorp dan menjadi penyampai radio di sana pada sebelah pagi.

“Waktu itu pun saya tak pandai sangat atur jadual kerana tiada pengurus. Manakala untuk filem Crazy Rich Asians, mereka panggil saya empat kali untuk uji bakat watak berbeza.

“Selepas uji bakat kali keempat, mereka tanya jadual saya. Apa lagi jawapan yang boleh diberikan kerana ketika itu saya terbabit dengan latihan drama Dosa.

“Tapi akhirnya saya menyesal sendiri kerana jadual latihan akhirnya ditunda kepada tarikh lain. Ini memang silap saya kerana kurang pandai susun jadual,” katanya.

Berkenaan tawaran membintangi filem Power Rangers, Daniella tidak berani mencuba nasib walaupun didesak oleh ejennya kerana watak itu hanya ditetapkan kepada pelakon berusia 18 hingga 21 tahun.

“Usia sudah melebihi syarat ditetapkan tapi ejen kata saya nampak muda dan boleh beraksi aksi lasak serta sesuai dengan watak ini.

“Saya tetap berkeras kerana tak nak timbul sebarang isu di kemudian hari. Sehingga setakat ini memang saya banyak lepaskan peluang berlakon di sana.

“Namun saya tak perlu risau kerana ada ejen di sana dan masih berpeluang cuba nasib di Hollywood. Impian nak ke sana memang ada juga suatu masa nanti,” katanya.

Nama Daniella mula dikenali peminat apabila membintangi beberapa drama antaranya Manja, Aurora Aishah, Miss Kapten Cikgu Waiz, Dosa, Isteri Untuk Disewa, Ombak Rindu 2019 dan Jodoh Jodoh Annisa.

“Buat masa ini tawaran berlakon di Malaysia pun padat dan biarlah saya fokus satu persatu terlebih dahulu.

“Apabila betul-betul didatangi tawaran berlakon, barulah saya akan ke Hollywood,” katanya yang turut berlakon pelbagai filem seperti KL Gangster Underworld, Lost in The Pacific dan Abang Long Fadil 3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 10:30 PM