SYAFIE Naswip mengesahkan putus tunang dengan Aishah Azman selepas bertunang pada 7 April lalu. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


"YA, betul kami sudah putus tunang," kata pelakon dan pengacara, Syafie Naswip mengesahkan spekulasi ikatan pertunangannya dengan pelakon Aishah Azman yang ternoktah.

Bagaimanapun, pelakon filem Mukhsin itu menegaskan ikatan pertunangan yang putus itu tidak membabitkan kehadiran orang ketiga dan pihak keluarga.

Ditanya lebih lanjut, Syafie enggan mengulas lagi dan memohon maaf. Katanya, cukuplah dengan kenyataan ringkas yang sudah diberikan.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan komen lebih lanjut berkaitan cerita ini (putus tunang). Cukuplah dengan kenyataan sudah dibuat.

"Jika selepas ini ada yang bertanya, saya tidak akan menjawab lagi. Maafkan saya, tak dapat memberi kerjasama," katanya menerusi kiriman aplikasi WhatsApp.

Kisah pertunangan Syafie dan Aishah mula menimbulkan spekulasi dalam kalangan warganet apabila foto mereka berdua ketika bersama 'hilang' daripada Instagram (IG).

Malah, spekulasi menjadi semakin hangat apabila masing-masing turut dikesan sudah tidak menjadi pengikut IG di antara sama lain.

Untuk rekod, Syafie dan Aishah mengikat pertunangan dalam majlis serba mewah serta meriah pada 7 April lalu dan dijangka bernikah hujung tahun ini.

Mereka sebelum itu sudah menjalin hubungan percintaan selama setahun sebelum akhirnya mencapai kata sepakat untuk bertunang.

Syafie dan Aishah yang juga adik pelakon Afiq Muiz mula berkenalan dan rapat selepas mereka membintangi sebuah drama bersama pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 5:59 PM