ZOEY kecewa dengan sikap penyewa yang meninggalkan rumah sewanya dalam keadaan kotor. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Zoey
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAKON, Zoey Rahman, 34, meluahkan rasa kecewa dengan sikap penyewa yang meninggalkan rumah sewanya dalam keadaan sangat teruk.

Menurutnya, penyewa yang berasal dari Thailand itu meninggalkan rumahnya selepas lima bulan menyewa dalam keadaan umpama ‘tongkang pecah’.

“Penyewa rumah sewa di Cheras ini warga Thailand dan saya sendiri pun tak sangka dia akan tinggalkan rumah dalam keadaan sangat teruk,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abd Rahman, penyewa itu ingin keluar lebih awal daripada kontrak yang dipersetujui selama setahun.

“Penyewa itu ingin keluar awal dari rumah sewa, jadi saya jelaskan kepadanya bahawa dia tidak akan dapat semula wang deposit memandangkan kontraknya adalah selama setahun dan dia ingin keluar lebih awal.

“Tak sangka pula bila saya pergi memeriksa rumah sewa ini kerana ada penyewa baru ingin masuk, keadaannya sudah ‘hancur’,” katanya.

Ditanya mengenai kerugian dialaminya, Zoey berkata, ada beberapa barang yang hilang.

“Dia tidak lari dengan tangan kosong. Dia membawa beberapa barang antaranya pinggan mangkuk.

“Selain itu, barang elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk juga habis rosak kerana mereka gunakan sebagai tong sampah.

“Bayangkan, sisa makanan dibuang ke dalam mesin basuh dan apabila saya masuk ke dalam rumah, penuh dengan lipas,” katanya.

Ditanya apa tindakannya, Zoey tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana penyewa lama itu sudah tidak dapat dikesan.

“Dia pun sudah tidak ada di Malaysia dan saya tak boleh ambil tindakan undang-undang. Jadi, mahu atau tidak, saya perlu keluarkan kos untuk membersih dan memperbaiki apa yang rosak,” katanya.

Ditanya sama ada dia serik untuk menyewakan rumah kepada warga asing, Zoey berkata, dia akan lebih berhati-hati.

“Tidak kiralah sama ada warga asing atau tempatan, sikap menjaga kebersihan perlu ada.

“Jadi, selepas ini, saya akan temu duga penyewa baru supaya tahu mengenai latar belakang mereka sebelum menyewakan rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 3:51 PM