IESYA memangku bayi yang selamat dilahirkan remaja luar nikah semalam. FOTO Instagram Iesya Toh
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“SYUKUR, alhamdulillah, seorang bayi perempuan selamat dilahirkan semalam. Ya Allah, sebaknya.

“Ibunya menghantar mesej langsung (DM) pada saya ketika hamil dan hari ini selamat semuanya tanpa perlu dibuang ‘amanah’ ini,” kata pengacara Iesya Toh.

Menurut Iesya menerusi laman Instagramnya, dia juga memohon kepada semua untuk mendoakan semoga bayi yang selamat dilahirkan remaja hamil luar nikah itu menjadi anak solehah pada masa depan.

“Saya juga berharap semoga ibu bayi ini akan memulakan kehidupan baru yang lebih positif,” katanya.

Bagi pemilik nama sebenar, Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, dia juga tampil membantu remaja hamil luar nikah kerana tidak mahu kes buang bayi terus berleluasa.

Kata Naib Presiden Wanita Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu, usaha murni dilakukan untuk memastikan remaja hamil luar nikah mendapat pembelaan sewajarnya kerana rata-rata mereka disisihkan keluarga sendiri.

“Saya juga mengambil inisiatif sendiri menerusi laman Instagram untuk mencari gadis malang terbabit dan memberi perlindungan kepada mereka.

“Saya anggap ia jihad kerana menggunakan duit simpanan sendiri membiayai kos rawatan klinik, makan minum hinggalah remaja hamil terbabit selamat melahirkan bayi ini di hospital,” katanya.

Perkongsian Iesya mengenai usahanya membantu remaja hamil luar nikah turut mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya di laman Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 3:30 PM