KU Nazatul Shima
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


“SAYA sanggup tangguhkan pembedahan dan menangung kesakitan seorang diri semata-mata mahu pastikan saya boleh menyanyi lagi,” kata penyanyi Shima yang mendedahkan dirinya mengalami masalah cakera tulang belakang tergelincir sakit (slipped disc) sejak 2013.

Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50, berkata, dia enggan menjalani pembedahan kerana risiko tidak boleh menyanyi semula adalah tinggi.

“Sekiranya saya menjalani pembedahan, kemungkinan saya tidak boleh menyanyi lagi kerana pembedahan itu akan melalui kerongkong dan mengganggu kotak suara saya .

“Disebabkan itu juga saya tidak boleh melakukan kerja berat selain terpaksa mengharapkan duit sumbangan.

“Kalau dapat tawaran menyanyi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya,” katanya.

Menurut Shima, dia mengakui kos ubat-ubatan untuk penyakitnya itu juga tinggi menyebabkan dia perlu ikhtiar pelbagai cara.

“Sekarang ini saya bergantung dengan ubat sahaja. Nak beli ubat mahal jadi terpaksa tunggu duit sumbangan.

“Kalau boleh saya nak aktif menyanyi semula. Sudah lama saya tidak menerima undangan nyanyian,” katanya.

Sementara itu, Shima menyambut baik usaha yang ingin dibuat pihak Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) bagi mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Kata Shima, dia berterima kasih kepada Datuk DJ Dave yang sudi menghulurkan bantuan.

“Saya bersyukur sekiranya dapat rumah ini. Memang dari dulu lagi saya mengimpikan rumah sendiri. Tak dapat besar, kecil pun okay.

“Alhamdulillah, ada juga pihak prihatin dengan nasib saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 3:24 PM