YNA tidak guna pengaruh Rima Rashidi untuk tempatkan diri dalam industri hiburan.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


KEMANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tentu ramai yang berfikir, pelakon baharu dan muda, Yna Rose Noah, 18, bertuah kerana ibunya pelakon dan penyanyi popular pada awal 90-an, Rima Rashidi, banyak membantunya menempatkan diri dalam dunia seni.

Disebabkan ibunya juga seorang artis, sudah tentu laluan buat Yna untuk menceburkan diri dalam dunia seni menjadi mudah berbanding orang lain yang tidak ada kenalan dalam kalangan penggiat seni.

Walaupun tidak lagi aktif menyanyi mahupun berlakon, Rima masih mempunyai kenalan yang membolehkan dia memperkenal dan mengetengahkan Yna.

Ditemui baru-baru ini, Yna bagaimanapun menafikan pandangan diberikan, sebaliknya kata pelakon yang mula aktif sebagai pelakon teater sejak awal pembabitannya, ibunya hanya memberikan galakan dan sokongan tetapi tidak pernah sekalipun menggunakan pengaruh dimiliki.

“Saya sedar ada orang berfikir yang saya nak jadi artis cukup mudah. Guna saja kenalan mahupun pengaruh laluan jadi mudah.

“Saya akui sebagai penggiat yang baharu hendak mula bertapak, ibu banyak mengajar dan berkongsi pengalaman. Tapi untuk mengambil kesempatan terhadap kelebihan yang ada tidak pernah.

“Sebaik saya meluahkan hasrat mahu mengikut jejak langkah ibu, dia menyuruh berusaha sendiri. Bukan itu saja setiap kali saya ada sesi uji bakat, ibu tidak pernah berjumpa dengan penerbit atau pengarah memberitahu saya anaknya, walaupun dia kenal mereka,” katanya.

Bagaimanapun, memandangkan ibunya juga seorang pelakon dan kini aktif mengajar vokal, Yna banyak menuntut ilmu dari sudut teknikal lakonan serta lontaran suara.

“Ibu sangat mementingkan ilmu teknikal dalam seni persembahan. Perkara ini selalu ditekankan dan diajar kepada saya,” katanya.

Yna memulakan kerjaya seni seawal usia 12 tahun, peringkat awal dia banyak membabitkan diri dalam pementasan teater antaranya P Ramlee The Musical, Aladdin the Musical, Bangsawan Dendam Laksamana dan terbaharu Ola Bola The Musical.

Selain pentas teater, Yna juga pernah membintangi filem Buntat dan beberapa drama tempatan antaranya Dodol Dodol Cinta dan Mariam Alissa.

Terbaharu dia diberi peluang oleh pengarah filem Showtime 1958, Dr Anwardi Jamil untuk memegang peranan utama sebagai Puspayanti.

Showtime 1958 sudah pun selesai menjalani penggambaran dan menceritakan pengalaman sepanjang pembikinan filem terbabit kata Yna, dia sendiri terkejut apabila diberitahu watak yang dilakonkan itu adalah watak utama.

“Saya menjalani uji bakat dijalankan sewaktu mereka mencari pelakon untuk membintangi filem terbabit. Saya diminta menjalani uji bakat untuk dua watak iaitu Ribut dan Puspayanti. Akhirnya saya berjaya dan ditawarkan watak Puspayanti.

“Waktu itu saya tidak tahu lagi yang watak Puspayanti adalah watak utama, sehinggalah saya dapat skrip penuh Showtime 1958.

“Apabila saya lihat, babak membabitkan Puspayanti sangat banyak. Itu pun saya tidak tahu lagi yang Puspayanti adalah watak utama sehinggalah, sewaktu penggambaran dijalankan saya diberitahu mengenai perkara itu.,” katanya.

Kata Yna, walaupun dia masih muda tetapi diberikan watak utama, dia tidak berhadapan dengan masalah.

Selain menggunakan ilmu dan pengalaman di pentas teater sebelum ini, selaku pengarah, Anwardi banyak membantu dari sudut pembinaan karakter.

“Tidak dinafikan apabila kita beraksi di pentas teater, kebanyakan pelakon akan bermain dengan ‘besar’ (over acting), tetapi tidak untuk filem. Pengarah mahu saya memainkan karakter Puspayanti dalam realiti maksudnya bersahaja,” katanya.

Walaupun membesar di pentas teater, teknik lakonan untuk filem dan drama kata Yna, dia banyak belajar daripada ibunya sendiri serta pengarah dan pelakon, Sabri Yunus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 12:18 PM