ALIN juga mahu beri maklumat berkaitan Adat Perpatih jika dapat lebar bakat di stesen radio lain.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


BERPENGALAMAN tujuh tahun sebagai penyampai radio di NEGERIfm, Azlina Kamarudin, 32, atau nama timangannya, Alin Anje mahu melebarkan bakat­nya di stesen radio yang lain dengan membawa dialek Negeri Sembilan.

Anak kelahiran Rantau, Seremban itu yang berkhidmat sejak Mac 2012 mahu bakatnya berkembang selain dapat membawa kelainan di stesen radio yang lebih ternama.

Menggunakan nama alin_kamarudin di Instagram (IG) dan memiliki hampir 3,000 pengikut, Alin mahukan pendengar menggunakan dialek Negeri Sembilan dalam pertuturan yang betul.

“Saya melihat keba­nyakan penyampai radio dan pelakon menggunakan dialek yang tidak kena ketika bersiaran mahupun lakonan.

“Dialek ini mempunyai aura tersendiri dan keba­nyakan selebriti cuba bercakap tetapi tidak menjadi melainkan mereka yang berasal dari Negeri Sembilan,” katanya.

Pelakon filem This Is Pilah itu berkata, impiannya untuk memberikan maklumat berkaitan Adat Perpatih jika dapat melebarkan bakatnya.

“Sewaktu membintangi filem ini bersama pelakon seperti Kazar Saisi, Eliza Mustafa, Joey Daud, Ebby Yus, Nen Tebabo dan Chot XOXO, kami cuba membawa bahasa ini dalam dialek yang tepat.

“Usaha ini memudahkan kerana 90 peratus pelakon adalah anak jati Negeri Sembilan,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda (Perhubungan Awam) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Sepanjang perkhidmatannya, Alin dapat memahami bahasa Negeri Sembilan klasik seperti ‘melingkup’ yang membawa makna berjalan-jalan atau bersiar-siar.

“Bahasa klasik yang lain adalah ‘ubek’ yang bermaksud bateri, tambah nilai dan lampu suluh. Selain anak muda, pendengar NEGERIfm juga membabitkan warga emas berusia 70-an dan 80-an dan mereka gemar berkongsi pengalaman lalu,” katanya.

Pengalaman tidak dapat dilupakan bagi Alin adalah menemu bual pemimpin masyarakat dan pegawai kerajaan secara langsung di konti yang tidak dapat dilakukan orang kebanyakan.

Pembaca berita jam 5 petang di TV1 dari Negeri Sembilan ini sering menerima undangan mengacara majlis perkahwinan, program korporat dan jabatan kerajaan di sekitar negeri itu dan Kuala Lumpur.

“Kesempatan yang ada, saya menggunakan bahasa ibunda dan pada masa sama memperkenalkan dialek Negeri Sembilan. Kebanyakan tetamu menyukai dan mereka menyifatkan bahasa ini sedap didengari,” katanya.

Ketika mengacara sebuah program di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu, Alin menzahirkan keterujaan sebaik ditanya orang ramai berkaitan beberapa perkataan yang menggunakan dialek negeri kelahirannya.

Berdasarkan pengalaman, Alin pernah mengacarakan segmen Oghok Potang (Hiruk Petang) yang menggunakan bahasa Negeri Sembilan 100 peratus serta segmen yang sedang dikendalikan iaitu Yok Donga Be.

Selain itu, segmen yang lain adalah Inspirasi Malam dan pengacara jemputan dalam Selamat Pagi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:00 AM