HAFIZ memaklumkan mungkin nampak kurus disebabkan sudut foto yang mengiring ke tepi. FOTO Instagram Hafiz Suip
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


"SAYA tak sakit mahupun terkena buatan orang. Tolonglah hentikan spekulasi," kata penyanyi, Mohd Hafiz Mohd Suip, 29, atau Hafiz Suip yang menepis dakwaan mengatakan dirinya sakit akibat disihir seseorang.

Hafiz berkata, dakwaan itu polemik semata-mata selepas dia memuat naik foto di Instagram (IG) miliknya, semalam yang menampakkan badannya kurus.

"Saya mungkin nampak sebegitu (kurus) disebabkan sudut foto yang mengiring ke tepi. Alhamdulillah setakat ini saya sihat, tak sakit apatah lagi terkena buatan orang," katanya yang dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut juara Akademi Fantasia 7 (AF7) itu, dia turut menepis tanggapan warganet yang beranggapan rumah tangganya bersama isteri, Nureffy Jasreel Abdullah, 26, goyah.

"Keluarga saya bahagia dan isteri amat menyayangi saya. Kami kini sedang menguruskan anak, Muhammad Riyadh Zafri yang berusia setahun lapan bulan," katanya.

Kata Hafiz, semua spekulasi itu amat menghiburkan dan ia sekadar perbincangan sesama warganet.

"Saya amat menghargai warganet dan peminat kerana mereka masih mengambil tahu perkembangan dan kesihatan saya," katanya yang kini berada di Bintulu, Sarawak bagi menjayakan program nyanyian.

Mengenai perkembangan seni katanya, dia bakal muncul dengan single terbaru menerusi duet bersama Siti Adira Suhaimi, 28, atau Adira AF8.

"Lagu ini masih dalam proses rakaman dan judulnya belum diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 4:32 PM