MENTOR Milenia 2019 kembali memburu bakat penyanyi muda. FOTO Aswadi Alias
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

SEJAK diterbitkan pada 2016, program Mentor Milenia berjaya mengangkat bakat penyanyi muda untuk diketengahkan sebagai pelapis dalam industri muzik tempatan.

Impak pertandingan nyanyian itu turut mendapat pujian ramai penggiat industri pemuzik dan peminat.

Selain itu, mentor yang diberi mandat untuk melentur protege masing-masing semuanya berkaliber dan profilik seperti Azlan The Type­writer, Akim Ahmad, Hazama, Black dan Tomok.

Memasuki edisi ketiga, Mentor Milenia 2019 yang bakal bersiaran pada Oktober depan memecah tradisi dengan menampilkan dua mentor wanita iaitu Stacy dan Ernie Zakri.

Tentu sekali pembaharuan sebegini membawa aura berbeza kepada program itu.

Pemilihan Stacy misalnya sangat menarik apatah lagi legasi penyanyi yang mendapat jolokan ratu tari Malaysia itu amat membanggakan.

Bagi Stacy, dia mahu meninggalkan impak tersendiri menerusi khidmatnya nanti. Apa yang dia harapkan menemui sebutir bintang dan bukannya bakat penyanyi semata-mata.

“Besar impian saya untuk melihat protege yang mampu menggegarkan industri muzik dan boleh pergi jauh. Saya mahu melihat peserta yang datang uji bakat nanti sudah bersiap sedia menjadi penghibur serba boleh.

“Saya tidak meletakkan sebarang kriteria selain peserta yang kami harapkan mestilah tampil dengan pakej meyakinkan. Kalau boleh, mereka kena ada faktor X yang mampu membuatkan mereka bersinar,” katanya.

STACY mahukan peserta yang memiliki faktor X ekstra. FOTO Aswadi Alias

Dibariskan bersama suaminya Akim, penyanyi Khayal itu juga menetapkan dirinya terus bersikap profesional dan sedia untuk berentap secara sihat.

“Pada musim sebelum ini, saya terbabit membantu suami untuk mempersiapkan protegenya. Pengalaman itu saya anggap sebagai kelebihan untuk diguna pakai melatih protege saya nanti.

“Tidak terasa janggal pun disebabkan selama ini kami suami isteri memang kerap digandingkan dalam mana-mana program. Bahkan, kami berdua bersemangat untuk memburu kejuaraan dalam program ini,” katanya.

Sementara itu, pemilihan Ernie mungkin membuka peluang kepada penonton melihat gelombang Budak Baru Nak Up (BBNU) diketengahkan. Mana tidak, dia mentor paling junior berbanding yang lain.

Apapun, penyanyi Ku Bersuara itu menganggap peluang itu adalah sesuatu yang besar dan sukar untuk ditolak.

“Saya memang pernah menyimpan impian untuk menjadi mentor tidak lama dulu. Tidak sangka pula peluang itu datang dan semestinya saya tidak mahu melepaskannya.

“Saya tidak melihat aspek vokal jadi kekuatan untuk saya sebagai seorang mentor. Banyak yang saya ingin ajar kepada protege kelak berdasarkan pengalaman peribadi untuk memastikan mereka bersinar,” katanya.

IMPIAN Ernie termakbul menjadi mentor. FOTO Aswadi Alias

Mentor Milenia 2019 juga bakal tampil dengan format baharu dan memansuhkan proses uji bakat mengikut mentor.

Dalam pada itu, Penerbit Eksekutifnya Sufian Isa berkata, protege yang terpilih ke Top 20 nanti akan diberi kuasa untuk memilih mentor pilihan mereka.

“Pada peringkat uji bakat, peserta yang hadir akan dinilai juri berpengalaman di lokasi terbabit. Kemudian, 20 peserta terbaik akan dipilih ke peringkat seterusnya.

“Pada peringkat itu, semua lima mentor akan membuat penilaian memilih protege mana yang layak bertanding ke pentas Mentor Milenia tahun ini,” katanya.

Selain format berkenaan, lingkungan umur peserta juga dinaikkan dari 17 hingga 23 tahun berbanding musim terdahulu iaitu hingga 21 tahun saja. Manakala, peserta dari Singapura juga dialu-alukan untuk datang uji bakat.

ELICA Paujin bekas juara Mentor Milenia pada musim lalu. FOTO Aziah Azmee

Lima mentor iaitu Akim, Black, Hazama, Stacy dan Ernie Zakrie diperkenalkan untuk bertarung merebut kejuaraan di mana musim lalu dimenangi Akim menerusi protegenya, Elica Paujin.

Uji bakat akan diadakan di dua lokasi iaitu Hotel Promenade, Kota Kinabalu pada 3 dan 4 Ogos serta Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam (24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September).

Mentor Milenia yang dihoskan Shuk Sahar dan Elly Mazlein bakal menemui penonton TV3 bermula 6 Oktober depan pada setiap Ahad jam 9 malam selama 10 episod.

Juara akan menerima wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Peserta yang ingin menghadiri uji bakat boleh memuat turun borang pendaftaran di www.xtra.com.my/mentormilenia dan membawanya ke sesi uji bakat selepas diisi.

Selain itu, peserta perlu membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport atau 3R dan minus one lagu yang bakal dipersembahkan untuk penilaian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 8:02 AM