Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


“MAWAR ada hantar mesej ucapkan selamat hari jadi, cuma dia tak dapat hadir untuk raikan bersama hari ini kerana ada hal lain,” kata pelakon Fizo Omar yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-34, hari ini.

Sedikit berbeza sambutan hari jadi dibuat Fizo apabila dia membuat ‘prank’ kepada ibunya, Hasnah Jidin, 59, dengan menghadiahkan kerusi urut bernilai RM20,000.

Fizo berkata, tidak ada istilah kekurangan pada hari jadi kali ini walaupun sebelumnya disambut bersama bekas isteri, Mawar Abdul Karim.

“Tak ada yang kurang pun. Saya ada jemput Mawar datang, tapi dia ada hal lain. Bagi saya, perkara lepas biarlah berlalu. Saya teruskan dengan kehidupan baru.

“Saya pun ada keluarga besar dan pasukan. Saya dan Mawar baik saja dan tidak ada masalah pun. Jadi, tak timbul soal kekurangan, cuma mungkin berbeza sedikit apabila saya ‘back to normal’.

“Sebelum ini mak tinggal dengan saya selama berbelas tahun sejak saya bujang lagi. Jadi tak ada isu kekurangan pun. Malah, Allah beri lebih lagi iaitu ketenangan, kebahagiaan dan rezeki untuk saya. Alhamdulillah,” katanya.

FIZO Omar bersama ibu, Hasnah Jidin dan anaknya, Wan Maryam.

Fizo yang ditemui di kediamannya di Bandar Baru Bangi berkata, ‘prank’ yang dibuat itu adalah acara wajib setiap kali menyambut hari jadinya.

Menurut Fizo, dia menghadiahkan kerusi urut kerana ibunya sudah lama teringin untuk memilikinya.

“Mak memang sudah lama nak kerusi urut ni, tapi dia tak cukup duit. Itu sebab saya hadiahkan. Saya nak berterima kasih pada mak sebab doakan saya selama ini.

“Mak sudah menjaga saya selama 34 tahun, jadi tak salah kalau saya yang beri hadiah. Mak banyak sokong saya sehingga saya berjaya.

“Memang setiap tahun pada hari jadi saya, saya suka beri hadiah pada mak. Saya rasa yang perlu dihargai adalah ibu yang menjaga, mendidik dan mendoakan saya. Sebab itu setiap kali hari jadi saya, satu kepuasan saya apabila dapat buat ibu gembira,” katanya.

Fizo berkata, sebelum ini dia pernah menghadiahkan ibunya pakej umrah, haji dan percutian.

“Setiap tahun fikir macam mana nak ‘prank’ mak. Sebelum ini bawa pergi Langkawi, haji dan umrah.

“Pernah juga hadiahkan kerusi urut, tapi itu enam tahun lalu. Saya berasa itu lebih baik dan tanda terima kasih pada mak.

“Semoga doa mak terus dimakbulkan untuk saya terus berjaya. Apa saya dapat sekarang bukan sebab saya hebat, tapi Allah angkat doa mak saya. Doakan semoga mak terus sihat, panjang umur dan murah rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:08 PM