SITUASI cemas di restoran elakon Nadya Syahera Rosli. FOTO/Nadya Syahera
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


TINDAKAN berani seorang pekerja restoran milik pelakon Nadya Syahera Rosli menarik keluar tong gas dari api yang sedang marak berjaya menyelamatkan restoran itu daripada terbakar sepenuhnya, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, pekerja lelaki itu cedera akibat melecur di tapak tangan.

Nadya berkata, ketika kejadian dia baru lima minit tiba di restoran The Golok Cafe miliknya di Seksyen 7, Shah Alam itu.

“Ketika itu saya nampak seorang pekerja sedang menggantikan tong gas sedia ada dengan yang baru sebelum tiba-tiba api menyambar dipercayai akibat kebocoran tong gas,” katanya.

Nadya berkata, suaminya Fizul Nawi bertindak memadam kebakaran itu menggunakan alat pemadam api, bagaimanapun api marak kembali disebabkan ada kebocoran gas.

“Ketika itulah pekerja terbabit bertindak berani masuk ke dalam kedai dan membawa keluar tong gas. Sebaik ia dibawa keluar, barulah api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Menurut Nadya, kecederaan dialami pekerjanya itu agak serius dan dia dirawat di sebuah pusat perubatan di Shah Alam.

“Dia baru saja bekerja dengan saya. Saya akan menanggung semua kos perubatannya,” katanya.

Katanya, kebakaran berlaku di bahagian tepi restoran itu menyebabkan dia kerugian kira-kira RM10,000.

Kejadian itu juga menyebabkan pelanggan yang ada bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Seorang kanak-kanak mengalami luka ringan akibat terjatuh ketika lari menyelamatkan. Saya faham semua orang panik dan masing-masing nak selamatkan diri tanpa membayar malanan.

“Saya halalkan semuanya kerana kasihankan mereka yang terkejut atas kejadian ini. Saya bersyukur kerana tiada pelanggan yang cedera dan kebakaran itu tak membabitkan rumah di tingkat atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 3:32 PM