CASH guna pengalaman di negara K-Pop untuk saingi penyanyi sedia ada. FOTO: Ezairi Shamsudin
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PENGALAMAN lebih dua tahun menimba ilmu dalam bidang muzik di Korea Selatan membuatkan penyanyi baharu, Cash Farhan tidak gentar berhadapan saingan penyanyi sedia ada tanah air.

Yakin dengan bakat, Cash, 23, yang berasal dari Terengganu ini percaya dia mampu menempa nama jika diberi peluang.

Cash atau nama sebenarnya Muhamad Asyrol Farhan Ahmad ialah anak bongsu bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang lebih selesa memilih kerjaya seni berbanding politik.

Ditemui baru-baru ini, Cash muncul dengan lagu solo pertama ciptaan bersama Ewal Ismail dan lirik hasil tulisannya sendiri berjudul Trust yang bergenre pop moden.

Tampil berani dengan imej K-Pop, Cash berkata dia ke Korea Selatan sekitar 2015 pada awalnya untuk menimba ilmu dalam perniagaan.

“Namun, segala-galanya berubah apabila saya mula tertarik untuk mendalami muzik. Apatah lagi, saya berpeluang menyertai satu program pencarian bakat.

“Banyak ilmu berkaitan muzik dan industri hiburan yang saya peroleh sepanjang menyertai program itu. Malah, ia juga memupuk keyakinan diri saya supaya berani mencuba,” katanya.

Cash berkata, selain itu minatnya pada penulisan juga sudah dipupuk sejak di bangku sekolah dan hingga kini dia memiliki koleksi lagu ciptaan sendiri.

Bersyukur minatnya terhadap dunia seni tidak dihalang ibu bapa dan keluarga, Cash berkata dia akan berusaha memahat nama dan bakatnya sehingga diterima ramai.

“Ditambah dengan kemahiran menguasai empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Korea dan Mandarin, saya akan cuba gunakan kelebihan ini sebaik mungkin.

“Bahkan, saya juga merancang menghasilkan lagu kedua dengan gabungan tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, Korea dan Inggeris,” katanya.

Lagu Trust diilhamkan Cash daripada kisah cintanya yang kecundang di tengah jalan sekitar empat tahun lalu.

Sehubungan itu, muzik muzik lagu Trust sudah dimuat naik di YouTube sejak seminggu lalu dan mendapat maklum balas positif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:00 AM