YATT Hamzah.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


PELAKON Yatt Hamzah meluahkan kesedihan apabila suaminya, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 27 dan beberapa rakan artis terkandas selepas ditahan tentera Israel di pintu Rafah, Mesir malam tadi.

Menerusi Instagram miliknya, Yatt berkata, suaminya yang juga Pengarah Media Majlis Perundangan Islam Malaysia (MAPIM), Heliza Helmi dan adik, Hazwani Helmi gagal keluar dari kawasan berkenaan.

Berikutan penahanan itu katanya, mereka terpaksa bermalam di kawasan terbabit malah terlepas penerbangan untuk pulang ke tanah air.

Sebelum ini Mohammad Zulfadhli, Heliza, Hazwani, kakitangan MAPIM dan pengamal media menyertai misi kemanusiaan #wakeupforGaza bagi membantu rakyat Palestin pada 8 Julai lalu.

Menurut Yatt, dia tidak tahu berapa lama suami dan rakannya akan ditahan tambahan pula mereka berdepan tentera Israel.

“Mohon semua mendoakan keselamatan delegasi Malaysia untuk misi #wakeupforGaza yang terperangkap di pintu Rafah, Mesir yang dikawal sepenuhnya tentera Israel.

“Mohon doa semua agar dijauhkan daripada segala mudarat,” tulisnya di Instagram.

Menurut Yatt lagi, kejadian itu dimaklumkan oleh seorang sukarelawan MAPIM iaitu Dr Sany Araby melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, dia pernah berdepan cabaran sama sewaktu menyertai misi kemanusiaan di Palestin pada 2013.

“Saya pernah ditahan berpuluh jam dan memahami kesukaran yang dihadapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 12:54 AM