FASHA Sandha berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan baik-baik untuknya dan keluarga. FOTO Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


PELAKON Fasha Sandha berharap peminat memberikannya masa untuk belajar bertudung.

Fasha, 35, berkata, dia mengakui diri masih belum sempurna dan sangat menghargai doa peminat yang mahukannya terus istiqamah.

"Saya berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan baik-baik untuk saya dan keluarga.

"Tidak dinafikan ramai yang suka lihat saya bertudung dan mereka mengharapkan supaya terus bertudung.

"Saya faham dengan apa yang mereka mahukan tetapi saya sendiri buat masa sekarang sedang belajar. Doakan yang baik-baik supaya dipermudahkan segalanya.

"Saya juga tidak berani bercerita lebih, bimbang orang salah erti. Sebagai manusia iman kita kadang-kadang tidak teguh," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Aura White Sparkle Diamond Skincare dan Aura White Sparkle Diamond Collagen Travel Pack di Kuala Lumpur, hari ini.

Fasha mengulas mengenai imej bertudungnya yang dimuat naik di Instagram miliknya sejak beberapa hari lalu.

Terdahulu, Fasha sebelum ini kekal berhijab selama 30 hari sepanjang Ramadan lalu bagi menyahut cabaran #hijab30.

Sementara itu, Fasha menjelaskan suaminya, Aidil Aziz tidak pernah memaksanya untuk mengekalkan imej berkenaan malah memberi ruang untuknya berhijrah dengan hati yang ikhlas.

"Aidil tidak pernah menyuruh atau meminta saya bertudung dan dia tidak kisah pun.

"Dia tahu mana yang terbaik untuk saya dan memberikan ruang untuk saya belajar secara perlahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 8:53 PM