BETTY Banafe anggap perpisahan cara untuk meningkatkan iman. FOTO Arkib NSTP
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


PELAKON Betty Banafe reda menerima suratan takdir bahawa rumah tangga yang dibina selama tujuh tahun bersama Bruce Dargus akhirnya terlerai pada 10 Julai lalu.

Betty ketika dihubungi berkata, keputusan untuk bercerai itu dibuat dalam keadaan tenang dan bukannya dipengaruhi oleh perasaan marah.

"Saya sudah beberapa kali pergi umrah dan menunaikan ibadah haji. Setiap kali ke sana, saya akan doa supaya digerakkan hati untuk lakukan yang terbaik buat rumah tangga.

"Saya percaya pada takdir. Saya rasa tidak perlu buang masa untuk bertahan lagi sedangkan keserasian itu sudah tiada.

"Anak sulung pun sudah faham apa yang berlaku dalam rumah. Daripada terus berikan kesan negatif, lebih baiklah seperti sekarang ini," katanya.

Katanya, dia menganggap perpisahan itu adalah cara untuk meningkatkan iman dan muhasabah supaya menjadi lebih baik.

Sama ada masih meletakkan ruang bagi berbaik semula ataupun tidak, kata Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, buat masa ini dia tidak terfikir lagi untuk bersama semula.

"Saya bukan lebih tinggi daripada Allah untuk mengatakan tidak. Kita tidak tahu percaturan hidup pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, buat masa ini saya tidak terfikir pun untuk berbaik semula," katanya.

Betty dan bekas suaminya, Bruce, disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru pada 10 Julai lalu.

Buat masa ini, mereka masih menantikan keputusan mahkamah mengenai hak penjagaan dua anak.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Julia Claire Dargus, 6, dan Bruce Dean Dargus, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 8:19 PM