BANDI Amuk perhatikan artis baharu begitu 'demand' sedangkan mereka memiliki satu hingga tiga single saja. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


PENYANYI, Bandi Amuk atau Nasabandi Jumat, 55, menasihatkan penyanyi baharu atau 'budak baru nak up' (BBNU) supaya tidak menjadi selebriti yang sombong.

Bandi berkata, ramai dalam kalangan penyanyi baharu langsung tidak menegur penyanyi otai biarpun mereka terbabit dalam penganjuran program sama.

"Apabila saya menjayakan sebuah program nyanyian baru-baru ini, seorang penyanyi baharu langsung tidak menegur kami. Ia masalah dalam industri hiburan sekarang.

"Jika menjadi artis jadilah mereka yang menghormati orang lain. Mungkin hari ini kita rasa popular dan tidak mustahil suatu hari nanti nama mereka akan tenggelam," katanya enggan mendedahkan identiti artis terbabit.

Menurutnya, kebanyakan artis dimaksudkan adalah penyanyi perempuan dan ia berbeza dengan didikan terdahulu.

"Sewaktu mula menjadi penyanyi, guru kami mendidik jadilah artis yang menghormati orang lain. Industri hiburan tidak sebesar mana dan ia berpusing seperti roda," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mengambil perumpamaan lagu Akar dan Bumi katanya, hidup perlulah makin berisi makin tunduk.

Menurutnya, masalah lain yang sering berlaku dalam kalangan artis baharu adalah mereka mengenakan bayaran tinggi iaitu belasan ribu ringgit bagi setiap persembahan.

"Saya perhatikan artis baharu begitu 'demand' sedangkan mereka memiliki satu hingga tiga single saja. Hidup biar berpada-pada dan ukur baju di badan sendiri.

"Boleh mengenakan bayaran tinggi tetapi lihatlah hasil karya dan kualiti lagu. Apa yang penting adalah jujur dan jangan merasakan diri begitu popular," katanya yang memiliki 13 album dan 130 lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 2:49 PM