NASSIER ditahan di wad selama 20 hari sebelum dibenarkan keluar baru-baru ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PENYANYI popular era 1980-an, Nassier Wahab semakin pulih selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, 1 Jun lalu.

Pembantu peribadinya, Aliff Salim berkata, Nassier mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.

“Setiap kali sakit, dia akan ambil pil penahan sakit yang diberi doktor. Apabila makan ubat, sakit itu akan hilang. Kadang-kadang ambil masa dua hingga tiga hari baru hilang sakitnya. Apabila terlalu berterusan, doktor memberitahu kaedah ini tidak bagus kerana boleh menjejaskan kesihatannya,” katanya.

Aliff berkata, doktor menasihatkan Nassier menjalani pembedahan tetapi dia kerap menangguhkannya.

“Selepas kali ketiga berjumpa doktor, barulah dia setuju untuk buat pembedahan pada 1 Jun lalu,” katanya.

Katanya, umum memang nampak Nassier sihat, tetapi sebenarnya dia tidak mampu menahan sakit apabila masalah kesakitan akibat ketumbuhan itu menyerang.

“Dia ditahan di wad selama 20 hari sebelum dibenarkan keluar baru-baru ini. Sebelum ini dia terpaksa makan menggunakan tiub membuatkan berat badannya agak susut. Rabu lalu, barulah tiub itu ditanggalkan dan dia dapat menikmati makanan seperti biasa,” katanya.

Menurut Aliff, Nassier dinasihatkan berehat secukupnya sebelum kembali menyanyi.

Katanya, sebelum ini Nassier memang merahsiakan kesakitannya.

“Apabila sakit itu datang, saya terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan dengan memberi alasan jadualnya padat.

“Ada rakan yang melawatnya ketika di hospital dan di rumah. Dia mahu merahsiakan kesakitannya itu, tetapi adalah lebih baik dihebahkan kepada semua termasuk rakan untuk mereka datang serta mendoakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 1:16 PM