ALIF gembira sebuah syarikat petroleum mahu taja siri jelajah.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


WALAUPUN duet bersama Raihan menerusi lagu Sesungguhnya memberi banyak impak positif, Alif Satar tidak pernah terfikir untuk menyertai kumpulan nasyid itu. Baginya, sebagai penyanyi dia perlu mempelbagaikan muzik yang dibawa dan kerjasama sedemikian dirasakan lebih sesuai.

“Saya tidak nafikan selepas berduet dengan Raihan, ramai peminat mahu saya menyertai Raihan. Saya tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian lagipun rasanya Raihan sudah selesa bertiga,” katanya.

Dalam pada itu, Alif turut gembira apabila sebuah syarikat petrol berbesar hati menaja siri jelajah mereka yang dijangka bermula September ini.

“Selepas kejayaan lagu itu, tak sangka pula ada yang sudi menaja kami mengadakan siri jelajah di beberapa tempat di seluruh negara. Kemungkinan kami akan ke Melaka, Johor, Pulau Pinang dan juga Kuala Lumpur," katanya.

Tidak hanya di Malaysia, jika tiada halangan ia akan diteruskan ke luar negara antaranya New Zealand dan Australia.

“Saya memang seronok, malah Raihan sendiri begitu teruja kerana menurut mereka, apa yang dilalui sekarang sama impaknya ketika populariti Puji Pujian dulu.

“Mereka juga bertanyakan saya untuk tampil dengan single baharu bersama mereka. Pastinya saya turut teruja tetapi buat masa sekarang biarlah kami fokus terhadap siri jelajah ini dulu,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai karier lakonannya, Alif berkata, dia kini terbabit dalam supertelefilem berjudul Geng bersama Lisa Surihani, Nadiya Nisaa, Sherry Al-Hadad dan Hisyam Hamid.

Menurut Alif, dia teruja apabila digandingkan bersama Lisa yang juga pelakon wanita impiannya untuk berlakon bersama.

“Walaupun babak kami tidak banyak, saya seronok. Ia satu pengalaman menarik apabila dapat berlakon dengan Lisa.

“Apatah lagi watak kami berdua sebagai suami isteri dalam cerita ini sangat berbeza dengan diri kami yang sebenar apabila di luar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alif perlu memberi fokus kepada nyanyian dan pengacaraan buat masa sekarang berikutan jadualnya padat sehingga hujung tahun ini.

"Buat masa ini saya terpaksa tolak tawaran berlakon walaupun ada watak yang menarik diterima, jadual sudah penuh untuk nyanyian dan pengacaraan.

“Bulan depan saya bakal sibuk dengan program Big Stage musim terkini dan bakal tampil dengan single baharu bertajuk I Want You Love Me ciptaan saya bersama Faizal Tahir serta Romeo,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 4:30 AM