SITI Elizad penyampai radio, Sinar FM bagi segmen Duo Sinar bermula jam 3 petang hingga 7 malam. Foto IG Elizad
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


SELEPAS bergelar pengacara program Mingguan Wanita, terbaharu pelakon, Siti Elizad diumumkan sebagai penyampai radio, Sinar FM bagi segmen Duo Sinar bermula jam 3 petang hingga 7 malam.

Menerusi segmen itu, Siti Elizad, 35, atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin yang bergandingan dengan Hefny Sahad secara rasmi memulakan tugas semalam.

Katanya, pemilihannya itu dianggap satu penghormatan selain bersyukur dengan rezeki yang tidak pernah putus daripada Allah SWT.

“Sejujurnya, saya hilang kata-kata apabila ditawarkan tugas ini. Ia sesuatu yang asing dalam kerjaya seni saya. Malah, tidak pernah terfikir langsung untuk menjadi penyampai radio.

“Namun, yakin pihak stesen radio ada sebab tersendiri kenapa memilih saya dan digandingkan dengan Hefny. Saya terima tawaran ini sebagai satu cabaran buat diri.

“Alhamdulillah, sepanjang seminggu latihan sebelum memulakan siaran sebenar semalam, saya belajar banyak perkara dan akan terus memperbaiki diri,” katanya kepada Harian Metro.

Siti Elizad yang juga berbakat dalam bidang nyanyian berkata, dia bersedia menerima apa saja kritikan daripada peminat dan pendengar setia stesen radio itu.

“Saya mengendalikan segmen yang dianggap penting. Jam ini adalah waktu puncak di mana orang mulai memandu pulang ke rumah.

“Jadi, menjadi tanggungjawab kami untuk menghiburkan pendengar.

“Cuma, pada peringkat awal saya berharap sangat pendengar setia Sinar FM bagi segmen petang dapat memberikan maklum balas dan kritikan. Positif atau negatif saya sedia terima dan okey saja,” katanya.

Menurutnya, maklum balas itu dapat membantu dia dan Hefny memperbaiki lagi penyampaian mereka.

“Kalau boleh, tak nak menjadi syok sendiri,” katanya.

Sebelumnya segmen itu dikendalikan Salih Yaakub dan Adi Fashla.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 11:12 PM