SITI Sarah.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


SELEPAS tular aksi kemesraan penyanyi Siti Sarah membuat kejutan terhadap suaminya, Shuib apabila dia menghias motosikal yang baharu dibeli, Sarah sekali lagi mencuri perhatian warganet dengan aksi bersama bapanya pula.

Terbaharu, video yang memaparkan bapa Sarah, Raisudddin Hamzah menyuap makanan membuatkan rata-rata warganet berasa sebak dan menganggap ia satu momen manis antara bapa dan anak walaupun penyanyi itu sudah bergelar isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata.

Sarah ketika ditemui berkata, setiap yang dipaparkan antara dia dan suami serta bapa bukan satu rekaan sebaliknya itulah kebahagiaan sebenar dilalui mereka.

“Tidak semua orang akan menyukai apa yang saya buat. Atas dasar apa mereka tidak suka saya tak tahu.

“Namun apa yang boleh saya katakan setiap orang ada cara tersendiri untuk bermesra dengan suami atau ahli keluarga mereka," katanya.

Katanya, menerusi video yang memperlihatkan bapanya menyuap makanan bukan sengaja diada-adakan.

“Memang dari dulu lagi dia suka menyuap makanan walaupun dia tahu saya sudah besar dan berkeluarga.

"Mungkin ini cara dia menyayangi dan mendidik kami adik-beradik,” katanya.

Menurut Sarah, dia juga tidak boleh menutup mulut warganet yang berasa meluat atau tidak selesa dengan kemesraan dipaparkan di laman sosial.

“Saya sedar mungkin cara ini tidak sesuai dengan semua orang. Namun saya juga tidak boleh halang anda untuk terus mengikuti saya.

“Jadi saya mohon maaf seandainya kebahagian yang dipaparkan ini membuatkan ada pihak berasa tidak selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 11:07 PM