SUFIAN (dari kanan) bersama artis yang menjadi mentor terdiri daripada Stacy, Akim, Black, Hazama dan Ernie Zakri pada Sesi taklimat media Mentor Milenia 2009 di Sri Pentas. FOTO ASWADI ALIAS
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PROGRAM pencarian bakat Mentor Milenia 2019 yang bermula Oktober depan tampil dengan format baru dan memansuhkan proses uji bakat mengikut mentor.

Menurut Penerbit Eksekutifnya Sufian Isa, sebaliknya protege yang terpilih ke Top 20 kelak akan diberi kuasa untuk memilih mentor pilihan hati mereka.

“Pada peringkat uji bakat, peserta yang hadir akan dinilai juri berpengalaman di lokasi terbabit. Kemudian, 20 peserta terbaik akan dipilih ke peringkat seterusnya.

“Pada peringkat itu, kesemua lima mentor akan membuat penilaian memilih protege mana yang layak bertanding ke pentas Mentor Milenia tahun ini,” katanya.

Selain format berkenaan, lingkungan umur peserta juga dinaikkan daripada 17 hingga 23 tahun berbanding musim terdahulu iaitu hingga 21 tahun saja.

Lima mentor iaitu Akim, Black, Hazama, Stacy dan Ernie Zakrie diperkenalkan untuk bertarung merebut kejuaraan di mana musim lalu dimenangi Akim menerusi protegenya, Elica Paujin.

Uji bakat bakal diadakan di dua lokasi iaitu Promenade Hotel, Kota Kinabalu pada 3 dan 4 Ogos serta Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam (24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September).

Mentor Milenia bakal menemui penonton TV3 bermula ​6 Oktober ini pada setiap Ahad jam 9 malam​ selama 10 episod.

Juara Mentor Milenia 2019 akan memenangi RM100,000 berserta trofi.

Program itu dihoskan oleh ​Shuk Sahar ​dan ​Elly Mazlein​.

Peserta yang ingin menghadiri uji bakat boleh memuat turun borang pendaftaran di http://www.xtra.com.my/mentormilenia dan membawanya ke sesi uji bakat selepas diisi.

Selain itu, peserta perlu membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport atau 3R dan minus one lagu yang bakal dipersembahkan untuk penilaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 8:33 PM