MIN Yasmin bangga ditemuramah di stesen radio popular Filipina, Wish 107.5.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


SELEPAS wajah Yuna terpampang di bangunan pencakar langit di tengah bandar Time Square, New York, Amerika Syarikat, wajah penyanyi Min Yasmin dipaparkan di badan bas bagi mempromosikan lagu terbarunya.

Menurut isteri Julfekar Ahmad Shah itu, stesen radio popular Filipina, Wish 107.5 membantunya mempromosikan lagu baru dihasilkan khas untuk pasaran negara itu dengan memaparkan wajahnya di badan bas yang digunakan sebagai konti.

“Wish 107.5 satu-satunya stesen radio yang mempunyai konti dan beroperasi di atas bas di Manila.

“Saya berasa sangat bangga apabila menjadi artis Malaysia pertama yang ditemuramah stesen radio popular ini. Bukan itu sahaja, mereka turut memaparkan wajah saya pada badan bas yang menjadi konti Wish 107.5,” katanya.

Selain sesi temubual bersama penyampai Wish 107.5, Min Yasmin turut diberi peluang untuk menyanyi secara langsung di Freedom Park Marikina, Manila.

“Saya benar-benar bersyukur kerana peminat muzik di Filipina boleh menerima kehadiran saya dan sewaktu mendendangkan lagu secara langsung, ramai yang hadir menyaksikan persembahan yang saya lakukan. Usaha saya untuk mencipta nama di sini mula menunjukkan hasil,” katanya.

Min Yasmin mula melancarkan album pertamanya dalam bahasa Tagalong pada 2015 dan sejak itu dia sering berulang-alik dari Malaysia ke Filipina untuk mempromosikan karya didendangkan.

Selain itu, lagu dihasilkan Julfekar dan didendangkan Min Yasmin sering menjadi pilihan penerbit dan stesen televisyen di sana untuk dijadikan runut bunyi sekali gus membantu pasangan suami isteri itu memasarkan karya dihasilkan di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 5:12 PM
Skip this ad x