STACY muncul dengan single baru, Khayal yang dilancarkan hari ini. FOTO Ihsan Nova Music
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


BEBERAPA jam selepas dilancarkan di platform digital hari ini, single terbaru penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Tari Malaysia, Stacy iaitu Khayal sudah menduduki Top 5 di carta iTunes Malaysia.

Stacy, 29, atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam berkata, ia satu pencapaian awal dan membanggakan buat lagu terbarunya itu.

“Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan peminat. Sejak memberikan ‘teaser’ mengenai pelancaran lagu ini, saya mendapat banyak komen dan mesej (DM) yang cakap tak sabar nak tunggu.

“Lagi satu, mungkin juga mereka sudah menantikan lama lagu terbaru daripada saya. Kalau ikutkan, saya merancang keluar dengan single baru awal tahun ini, tapi ada sedikit masalah timbul. Jadi, saya terpaksa tukar lagu lain.

“Bagi saya, lagu kali ini sedikit berbeza daripada kebanyakan single lain terutama dari segi susunan muzik yang disuntik elemen ‘trap music’ dan alunan melodi ‘EDM synth’ sekali gus memberikan bunyi unik kepada lagu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Stacy berkata, lagu ciptaan Hang Nadim serta lirik oleh Bunga Cantik iaitu dirinya sendiri dan Ziin itu adalah inspirasi daripada kisah sendiri yang gemar berkhayal dengan cerita fantasi di kala waktu dirinya sukar melelapkan mata di waktu malam.

“Lirik lagu ini sebenarnya menceritakan betapa sakitnya menghadapi dunia realiti. Apabila kita tertekan, marah, kecewa dan sedih, kalau boleh kita nak lari dari segala masalah.

“Saya berasa semua orang pun pernah mengalami perkara sama. Semua orang pun pernah berkhayal atau mencipta kisah fantasi dibenak fikiran masing-masing sebagai cara nak lari atau melupakan sebentar realiti sebenar kehidupan.

“Malah dalam lirik Khayal ini saya ada menulis mengenai ‘biar cinta sampai ke bulan’. Sebenarnya saya tulis khas untuk menggambarkan betapa besarnya cinta saya kepada keluarga kecil saya dan betapa utuhnya ikatan kami sekeluarga yang akan tetap selalu menjalani kehidupan bersama walau susah atau senang,” katanya.

Menariknya lagu itu adalah single pertama terbitan Stacy menerusi syarikat bersama suami, Akim Ahmad iaitu Rhythm & Rhyme Entertainment (RnR) dengan kerjasama Nova Music Malaysia sebagai pengedar.

Berita baik untuk peminat Stacy dan penggemar muzik tempatan, bersempena pelancaran single itu, Stacy menawarkan peluang buat peminat untuk memenangi sebuah telefon bimbit terbaru Samsung S10 dengan mengstrim lagu Khayal di Spotify.

Caranya, peminat perlu merakam video mereka sedang mengstrim lagu Khayal di Spotify dan kongsi video itu menerusi Instagram Story mereka dan tag Stacy dan Nova Music.

Tarikh tutup peraduan pada 9 Ogos ini. Untuk maklumat lanjut, ikuti laman sosial Instagram @stacyanam dan @novamusicmy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 2:26 PM