CEF Zam bersama Erma Fatima (kiri) dan Sherry Al Hadad ketika penggambaran drama Mak Cun.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


UMUM mengenali Zamzani Abdul Wahab dengan panggilan Cef Zam. Selain menjadi tenaga pengajar dalam bidang masakan, dia juga turut muncul sebagai pengacara mengendalikan program masakan seperti Sajian Ramadan dan Biscotti.

Bagaimanapun, kebelakangan ini, wajah Zam juga dilihat turut menghiasi beberapa drama tempatan. Antara yang sedang ditayangkan Kariah Cak Pong.

Sebelum ini cef kelahiran Kuala Terengganu ini turut muncul dalam drama bersiri seperti Baitul Rahmat, Jangan Pendam Rindu dan Mr Spotlight.

Terkini, dia baru saja selesai menjalani penggambaran drama Mak Cun.

Melihatkan perkembangan itu, pastinya ada yang berkata apa yang mahu dikejarkan cef selebriti ini? Mahu menjadi cef atau berlakon?

Zam ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia menerima tawaran berlakon kerana permintaan untuk dia ‘masuk TV’ selalu ada.

"Esok lusa kalau sudah tua 'kerepot' orang tidak mahu. Terpulanglah orang mahu kata apa kerana apabila saya tidak makan bukan mereka mahu sedekahkan makanan. Selagi ada permintaan untuk orang tengok saya di TV dan mampu untuk bekerja selagi itu saya akan lakukannya.”

“Saya mengambil contoh model terkenal Amber Chia apabila kempen terbaharu wajahnya dijadikan pelapik kaki, tapi dia peduli apa asalkan mereka bersedia membayar jumlah wang yang besar untuk wajahnya diletakkan di pelapik kaki,” katanya.

Zam berkata, dia tidak akan melakukannya sekiranya dia tak mampu dan tiada ilmu membabitkan dunia lakonan.

“Bidang pengacaraan dan lakonan sama saja. Ia memerlukan saya beraksi di hadapan kamera. Cuma apabila mengacara program masakan saya menjadi diri sendiri dan apabila berlakon, menjadi orang lain pula.

“Sebagai pelakon apabila kita berjaya membawakan watak diberikan ia memberikan kepuasan dan perkara itu juga menjadi pembakar semangat untuk saya terus menerima tawaran berlakon yang diberikan,” katanya.

Menurut Zam, ketika remaja dia cukup aktif dengan persatuan teater di peringkat daerah dan negeri. Malah dia juga pernah terbabit dengan beberapa pementasan bangsawan.

“Sebab itu saya kata kalau tidak ada ilmu atau pengalaman saya tak akan buat. Tawaran berlakon dalam drama yang saya bintangi itu ibaratnya sebagai mengubat rindu pada dunia lakonan yang sudah tidak saya lakukan bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Katanya, dia akan memastikan penampilannya dalam setiap drama memberikan impak dan tidak sekadar menjadi penyendal atau statusnya sebagai cef selebriti dipergunakan.

“Alhamdullilah kebanyakan tawaran dan watak yang diberikan kepada saya menarik. Tambahan pula kebanyakan penerbit dan pengarah turut memberikan kebebasan kepada saya untuk mencorakkan watak yang diberikan juga dialog.

“Saya sendiri sukakan cabaran itu. Walaupun watak yang saya mainkan itu bukanlah watak utama sekurang-kurangnya ia mampu mewarnai jalan cerita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 5:00 AM