KUMPULAN K-Clique dari Sabah harap dapat cipta legasi sendiri.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


BERIKUTAN muzik hip hop semakin diterima baik dan diiktiraf dalam industri muzik tempatan, semakin ramai penyanyi rap muda muncul. Apa yang pasti, kehadiran mereka mengukuhkan empayar hip hop Malaysia.

Antaranya kumpulan K-Clique dianggotai MK, Noki, Tuju, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas yang berharap dapat mencipta legasi sendiri.

Semangat setia kawan menjadi tunjang perjuangan anak muda berusia lingkungan 23 hingga 25 tahun itu.

Berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, tiada lain impian mereka selain mahukan karya diterima baik dalam dan luar negara.

Tampil dengan identiti sendiri, mereka percaya gabungan idea lapan anggotanya menjadi kekuatan utama.

Tuju berkata, kelebihan K-Clique adalah mereka masing-masing mempunyai idea berbeza.

“Apabila semua idea itu digabungkan sekali, hasil setiap karya yang dicipta lebih mantap dan memuaskan. Kami juga sudah mengenali antara satu sama lain sejak kanak-kanak sekali gus menjadikan persefahaman kami lebih erat. Kami sentiasa percaya dengan idea setiap anggota dan masing-masing akan beri yang terbaik,” katanya.

Mereka juga tidak perlu meniru hala tuju muzik penyanyi hip hop lain untuk meninggalkan impak. Sebaliknya, mereka memilih mengerah keringat sendiri untuk tampil dengan idea lebih segar.

“Kami tidak bergantung kepada mana-mana artis lain untuk hala tuju muzik kami. Tapi, kami tidak menafikan memang mengambil inspirasi daripada kejayaan mereka.

“Contohnya Joe Flizzow menjadi sumber inspirasi kami. Bagaimanapun, kami berusaha tampil dengan identiti asli dalam setiap lagu yang kami hasilkan berdasarkan idea segar kami,” katanya.

Sudah lama aktif dalam komuniti hip hop sejak 2014 di Sabah, K-Clique teruja untuk melangkah setapak lagi memasuki arus perdana.

Bagi mereka, peluang yang diberikan tidak mahu disia-siakan. Berazam mengembangkan nama di seluruh Malaysia, mereka turut berbangga tampil dengan lagu baharu berjudul Mimpi dan bekerjasama dengan Alif dan yakin lagu berkenaan mampu menaikkan mereka.

“Semuanya berjalan lancar sewaktu kami hasilkan lagu itu bersama. Bahkan, tiada rasa kekok pun bekerja dengan Alif memandangkan dia sendiri sejenis santai dan mudah serasi dengan kami.

“Dengan sentuhannya, kami percaya lagu ini mampu memberikan kejutan tersendiri kepada pendengar. Kami berharap selepas ini K-Clique juga akan sentiasa tampil dengan kejutan untuk setiap lagu kami,” katanya.

Dalam pada itu, Tuju berkata, tawaran persembahan di sekitar Semenanjung Malaysia semakin lumayan sejak awal tahun lalu.

Jadi, mereka tidak kisah berulang-alik dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur setiap kali ada jemputan.

“Itulah pengorbanan yang kami perlu akur sekarang walaupun masih berpangkalan di Kota Kinabalu. Selepas Ramadan, jadual kami agak padat dengan jemputan persembahan di Kuala Lumpur.

“Kami tidak mempunyai rumah di sini jadi terpaksa menyewa hotel atau pihak penganjur yang menyediakan penginapan. Memang penat berulang alik tetapi demi rezeki untuk membantu keluarga, kami sanggup,” katanya.

K-Clique yang kini bernaung di bawah label Black Hat Cat Records (BHC) pernah tampil dengan lagu Lane Lain Line, Sah Tu Satu, Licik dan Warna sebelum ini.

Single Mimpi terbitan BHC dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 5 Julai 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 4:30 AM