SHEILA (kiri) dan A Aida (kanan) sepakat pelakon perlu turut bantu promosi drama lakonan mereka di laman sosial masing-masing. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENERBIT drama terkenal, Sheila Rusly dan Datuk A Aida menempelak sikap segelintir pelakon yang mengenakan syarat dan tidak mahu mempromosikan drama lakonan mereka di laman sosial.

Sheila yang juga penerbit syarikat JS Pictures Sdn Bhd berkata, tindakan mempromosikan drama bukanlah kepentingan stesen televisyen semata-mata.

“Bagi saya, perkara ini adalah ‘situasi menang-menang’ untuk semua orang. Ia akan memberi kepentingan kepada semua pihak apabila ia dibuat.

“Pihak stesen televisyen dan penerbit hanya minta jasa baik pelakon promosi drama lakonan sendiri dan bukan drama orang lain. Adakah ia salah? Kenapa pula tak nak promosi drama sendiri?

“Apabila dipromosi dan pengikut di laman sosial menonton serta dapat pujian, ia akan membuat lebih banyak rezeki. Jangan ingat ini untuk kepentingan kami. Artis keluar televisyen dan mereka yang akan dapat nama,” katanya kepada Harian Metro.

Sheila berkata, penerbit dan stesen televisyen tidak mendapat sebarang bayaran sekiranya pelakon itu meraih populariti daripada drama lakonan mereka.

Katanya, mempromosikan drama di laman sosial termasuk dalam kontrak bagi artis yang berlakon di bawah produksi miliknya.

“Kalau orang tengok mereka berlakon bagus, orang lain akan ambil juga. Apabila sudah popular daripada drama itu, syarikat atau jenama produk mesti nak ambil menjadi duta.

“Siapa yang untung? Mereka juga dan bukannya kami. Penerbit dan stesen televisyen tak ambil ‘persen’ pun,” katanya.

Menurutnya, setiap klip pendek atau bahan promosi itu disediakan pihak stesen televisyen.

“Bukannya minta artis buat sendiri dan bukannya kena ‘hantar’ banyak dalam sehari. Cukup satu saja.

“Jadi, tak ada apa yang susah pun. Malah, stesen televisyen tak pernah cakap ia adalah wajib. Ia atas budi bicara,” katanya.

Sementara itu, A Aida daripada syarikat A Aida Production Sdn Bhd mengakui menyenarai hitam pelakon yang gagal memberi kerjasama dalam mempromosikan drama lakonan sendiri terbitan syarikatnya.

“Dalam kontrak saya memang ada menyebut perkara ini yang mana pelakon perlu mempromosi drama dalam laman sosial masing-masing.

“Jadi, kalau ada yang tak buat saya memang akan tegur. Kalau tak buat juga, saya akan senarai hitamkan terus daripada produksi. Buat apa nak bekerjasama dengan pelakon yang susah memberi kerjasama dan berkira dengan kita?

“Mereka minta bayaran mahal, penerbit sanggup bayar. Tapi, minta tolong promosi drama sendiri tak nak. Kenapa susah sangat nak bertolak ansur?,” katanya.

Isu berkenaan mula menjadi hangat apabila pelakon, Sharifah Sakinah memuat naik status yang mempersoalkan kenapa dia perlu mempromosikan lakonan di Instagram.

Malah, Sakinah juga meminta stesen televisyen membayar jika mahu dia melakukan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 9:45 PM